KUALA LUMPUR – Dua remaja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang pekerja bank dengan memukul mangsa sehingga pengsan dan mengambil pelbagai barangan mangsa termasuk sebuah kereta.
Muhammad Alsharif Madsa, seorang penganggur dan Muhammad Amirul Hafiz Sudirman Shah, pekerja restoran makanan segera, kedua-duanya berusia 19 tahun dan tinggal berjiran di sebuah pangsapuri, membuat pengakuan itu selepas tuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mahkamah bagaimanapun belum menjatuhkan sebarang hukuman ke atas kedua-dua tertuduh kerana menunggu laporan sosial berikutan mereka adalah pesalah muda.
Mengikut tuduhan, dua rakan itu didakwa bersama-sama telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap Low Shi Jie, 25, dengan merampas telefon bimbit, kunci rumah, kad akses rumah, kunci kereta, wang tunai RM150 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan, Kepong, di sini pada 3 pagi, 29 Oktober lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, ketika mangsa sedang berjalan kaki menaiki tangga, kedua-dua tertuduh dan beberapa lagi individu lain telah menahan mangsa, memukulnya sehingga pengsan sebelum melarikan diri dengan barangan mangsa termasuk kereta.
Emelia Kaswati membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan kedua-dua tertuduh berada di rumah masing-masing bermula pukul 10 malam sehingga 6 pagi setiap hari.
Mahkamah menetapkan 12 Disember untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

