ALAHAI… Ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) haram calon Bebas, Kan Chee Yuen edar 1,000 batang pen, mereka ‘senyap’ terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tindakan ‘berat sebelah’ agensi tersebut meskipun diterajui pengerusi baharu, jelas jadi bahan jenaka bukan sahaja dalam kalangan penduduk Port Dickson sendiri, malah calon-calon lain yang bertanding lawan Presiden PKR itu.
Tidak hairanlah PAS tampil mengingatkan Anwar tentang hasratnya konon untuk melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bebas daripada penggunaan segala aset dan jentera kerajaan oleh calon parti pemerintah.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan dalam nada sindiran mendakwa, bekas Ketua Pembangkang di Parlimen itu mungkin lupa katanya sendiri dalam sidang media di bandar peranginan popular tersebut pada 21 September lalu.
Jelas beliau, antara ungkapan yang disebut Anwar ialah: ‘Saya mahu PRK ini bebas daripada penggunaan aset dan jentera kerajaan serta pihak yang berkempen hadir beri sokongan kepada saya, perlu hadir sebagai pemimpin parti.’

“Bukannya wakil kerajaan… Jadi, apakah semua ini? Sandiwara politik? Tidakkah ini secara jelas membohongi dan khianati apa yang telah diucapkan beliau sendiri?” soalnya melalui kenyataan dalam laman Facebook beliau hari ini.
Nasrudin menambah, tindakan Anwar berada di majlis rasmi anjuran jabatan kerajaan meskipun bukan berkempen, tetapi boleh menyebabkan beliau tidak dianggap sebagai calon yang layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Beliau turut membangkitkan tentang pengumuman tiba-tiba Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu baru-baru ini berhubung peruntukan segera berjumlah RM500,000 untuk baiki kuarters tentera yang uzur di kem Port Dickson.
“Kemudian, semalam Presiden PAN ini juga telah menghadiri dan menyampaikan penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Port Dickson,” jelas Nasrudin dalam nada sinis merujuk kempen PH eksploitasi jentera kerajaan.
Berdasarkan perkembangan itu, Nasrudin anggap PH bukan sebuah parti politik komited dengan agenda reformasi sebaliknya amal politik matlamat menghalalkan cara demi capai cita-cita peribadi mereka. – Agensi/Mynewshub.TV

