KEJAM… Bagi generasi muda, kisah tragik ini tentu tidak diketahui tetapi amat dibenci pemimpin lama dan penyokong tua parti politik tempatan terutama DAP, MCA, PAS waima UMNO sendiri.
Bagaimanapun, Operasi Lalang atau juga popular disebut sebagai Ops Lalang yang dilancarkan perdana menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Oktober 1987, memang pedih untuk dikenang.
Menurut aktivis politik tempatan, Isham Jalil menerusi kenyataan di ibu negara hari ini, seramai 106 pemimpin politik termasuk dari parti kerajaan telah ditangkap dan disumbat ke dalam penjara tanpa perbicaraan mahkamah.
Mereka menjadi mangsa politik kejam Mahathir apabila ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang diwujudkan sejak 1960; sebelum dimansuh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012.
Akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan turut diharamkan ketika itu, malah Mahathir memperketatkan lagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang diperkenalkan beliau pada 1984 untuk kawal media tempatan lebih tegas.
Mahathir yang waktu itu Menteri Dalam Negeri, setelah setahun ganti Datuk (kini Tun) Musa Hitam; beri dalih alasan konon untuk elak tragedi berdarah perkauman 13 Mei 1969 berulang tetapi tindakan keras beliau dikritik.
Ramai pengamat politik tempatan menyifatkan Ops Lalang sebagai berjaya buruk imej Mahathir yang teruk terpalit dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah pada akhir 1985 sehingga mengorbankan 14 orang dan puluhan cedera.
Hakikatnya, menurut Isham, 31 tahun kemudian pada hari ini perkara yang sama berulang kembali. Sejak dua bulan kebelakangan ini, enam pemimpin pembangkang telah dipanggil untuk disoal siasat dan disumbat ke dalam lokap.
Ini termasuklah mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penggantinya kini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hanya kerana dosa enggan bubar parti berkenaan dan kemudian sertai blok Pakatan Harapan (PH).
“Dalam bulan-bulan akan datang ini, dijangkakan lebih ramai lagi pemimpin politik pembangkang akan ditangkap dan ditahan oleh Kerajaan PH. Sejarah penindasan politik ke atas pembangkang era 1980-an kini berulang kembali.
“PH kini mahu melemahkan atau hapus pembangkang dengan tekan, tindas dan tarik untuk menyertai dan tunduk kepada telunjuk parti kerajaan. Sesiapa yang ingkar akan dihapuskan atau disumbat ke dalam penjara,” kata Isham.
Episod penangkapan pemimpin pembangkang oleh kerajaan PH melalui pelbagai agensi penguatkuasaan bulan-bulan kebelakangan ini terang-terangan bukan untuk hapus rasuah, namun ia adalah untuk hapus musuh politik.
“Ia adalah suatu penangkapan dan penindasan politik sebab jika kerajaan PH betul-betul adil dalam tegak undang-undang dan hapus rasuah, maka mana mungkin tiada seorangpun pemimpin PH yang disoal siasat dan ditangkap.
“Walaupun umum tahu mereka jelas terpalit dengan pelbagai isu rasuah semasa tadbir negeri Selangor dan Pulau Pinang, adakah mereka ini kini telah suci murni setelah menang pilihan raya umum (PRU) lalu?” soal Isham sinis.
Malah ujarnya, seorang yang bertaraf menteri telah dibebaskan meskipun keterangan semua saksi belum habis didengar di mahkamah. Sebaliknya ramai pemimpin pembangkang kini yang menjadi sasaran untuk ditangkap.
“Jika pembangkang lemah atau dihapuskan, maka akan wujud sistem satu parti di Malaysia iaitu hanya PH tanpa pembangkang. Apabila ini berlaku, maka tiada lagi semak imbang politik dan dasar di negara ini,” jelas Isham.
Jika ini terjadi, kerajaan PH akan terus boleh khianati rakyat tanpa timbal balas. Mereka boleh terus menipu dan mungkir janji manis kepada rakyat kerana tahu tiada pencabar yang kuat untuk menjatuhkan PH dalam PRU.
Isham memberi amaran, Perdana Menteri boleh terus jadi diktator dengan kuasa ‘drakonian’ tanpa peduli rakyat. Kerajaan begini juga boleh tukar asas Perlembagaan dan hapuskan institusi Raja-Raja Melayu jika mereka mahu.
“Kita tidak boleh biar ini berlaku. Sebab itu, kita kena tentang mereka habis-habisan,” tegas Isham sambil rujuk beberapa isu kerajaan PH tidak bela nasib golongan miskin berbanding era Najib sebelum ini. – Mynewshub.TV