KUALA LUMPUR – Wang yang dikaitkan dengan pertuduhan pecah amanah yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak digunakan untuk kesejahteraan negara, kata peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, memberitahu mahkamah anak guamnya tidak mengambil sebarang wang yang disebut dalam pertuduhan itu bagi kepentingan peribadinya.
“Dua pertuduhan pertama tidak berasas sama sekali oleh sebab keputusan yang dibuat oleh anak guam saya dan tertuduh kedua (Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah) adalah demi kebaikan negara dan masyarakat.
“Jika tidak, ia mungkin akan mencetuskan keingkaran yang mungkin menyebabkan malapetaka,” katanya dan menambah, pertuduhan itu membabitkan pengambilan tanah bagi dua projek berlainan.
Ketika berhujah bagi permohonan jaminan bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee berkata pertuduhan tiga hingga enam adalah berkaitan pembayaran hutang yang perlu dilunaskan kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Peguam itu seterusnya berhujah dana itu pada mulanya diperuntukkan bagi tujuan itu tetapi dialihkan untuk mengutamakan semula pendanaan untuk penyelesaian kepada IPIC.
Muhammad Shafee yang menyifatkan pertuduhan terhadap anak guamnya sebagai memeranjatkan dan tidak masuk akal, berkata pasukan peguamnya berasa gembira selepas mereka membaca kesemua pertuduhan itu.
“Kami menanti-nantikan untuk membela kes ini dan menanti-nantikan hari perbicaraan,” katanya.
Terdahulu, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendahaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6,636,065,000 dana milik kerajaan Malaysia. – BERNAMA