REMBAU – Kerajaan negeri menafikan sebanyak 500 projek mesra rakyat yang diluluskan bagi tahun ini telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, projek berkenaan bukan dimansuhkan sebaliknya dinilai semula dari segi peruntukan dan keutamaan untuk penduduk setempat.
“Memang ada projek yang dimansuhkan tetapi tidak sampai 100 pun jumlahnya, lagi pula projek itu bukan dihentikan tetapi dinilai semula.
“Kita bukan terus batal kita nak nilai semula projek itu sama ada nilainya sama dengan nilai projek yang diluluskan atau sebaliknya, kita khuatir ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Hari Inovasi 2018 Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri di Eco Park di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah JPS negeri, Ir. Rozman Mohamad dan timbalannya, Hayati Zainal.
Semalam, media melaporkan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan mendakwa sebanyak 4,000 projek mesra rakyat merangkumi setiap parlimen seluruh negara yang diluluskan bagi 2018 telah dimansuhkan sejak Pakatan Harapan mentadbir kerajaan.
Katanya, daripada jumlah tersebut 500 projek adalah di negeri ini, iaitu kedua tertinggi selepas Johor.
Aminuddin turut mendesak supaya Nasrudin mengemukakan bukti dan fakta dakwaannya kepada kerajaan negeri secepat mungkin.
“Saya minta supaya beliau kemukakan fakta kepada kita, jangan hanya pandai bercakap saja, tunjukkan buktinya, senaraikan apa projek yang beliau dakwa kita mansuhkan itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan masalah kesesakan lalu lintas di jalan Kuala Pilah akan diberi keutamaan untuk diselesaikan secepat mungkin, berbanding projek lain. — BERNAMA