KULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Johor merampas kira-kira 40,000 liter bahan api disyaki diesel dan sebuah kapal tangki di Dermaga 10, Pelabuhan Tanjung Pelepas dekat Gelang Patah, 10 Okt lalu.
Pengarahnya Khairul Anwar Bachok berkata siasatan awal mendapati kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu memiliki barang kawalan dan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM84,000.
“Selain itu, kami juga mendapati pemilik kapal terbabit tidak memiliki lesen ‘bunkering’ yang dikeluarkan KPDNHEP bagi tujuan menjual dan membekalkan barangan kawalan,” katanya kepada pemberita di stor KPDNHEP, di Senai, dekat sini, hari ini.
Khairul Anwar berkata, kapten dan enam kru kapal warga Indonesia berusia antara 30 hingga 48 tahun masih ditahan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan sehingga kes tersebut selesai disiasat.
Menurutnya, modus operandi kapal terbabit (kapal tangki) adalah dengan menghampiri kapal-kapal kontena dan menawarkan bahan api seperti diesel kepada mereka dan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju, kapal tangki terbabit akan menghimpit kapal kontena bagi memindahkan bahan api tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dibaca bersama Perkara 3 (1) peraturan-peraturan kawalan bekalan 1974 kerana berniaga tanpa lesen,” katanya.
Sementara itu Khairul Anwar berkata, sehingga kini KPDNHEP Johor telah berjaya menyelesaikan 38 daripada 58 kes dimahkamah yang membabitkan denda keseluruhan berjumlah RM1.1 juta jauh melebihi jumlah denda dicatatkan tahun lepas iaitu RM100,000.
“38 kes berjaya diselesaikan di Mahkamah, manakala 20 lagi masih dalam perbicaraan, katanya.
Kes tersebut membabitkan pelbagai rampasan termasuk Gas Petroleum Cecair (LPG), pakaian, perisian dan baja, katanya. – BERNAMA

