SHAH ALAM – Kira-kira 20 rumah dinaiki air akibat kejadian banjir dan fenomena air pasang besar di Jalan Kenangan, Kampung Tok Muda, Kapar, Klang awal hari ini.
Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.00 pagi tadi, yang berpunca daripada kejadian air pasang, sehingga melimpah melepasi benteng di kawasan itu.
“Sekitar 15 hingga 20 buah rumah di Jalan Kenangan, Kampung Tok Muda dinaiki air sehingga ke paras lutut,” katanya.
Menurutnya tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan setakat ini dan mereka hanya keluar dari rumah menunggu sehingga air surut.
Sepuluh lokasi dikenal pasti berisiko dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar di Klang bermula dari sempadan Kuala Selangor hingga ke sempadan Kuala Langat iaitu Pangkalan Tok Muda, ban Sementa, ban Sungai Keramat Batu 5, Kapar; Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Jeti Nelayan Kampung Perepat, Pulau Ketam, Telok Gong dan ban Sungai Serdang.
Sementara itu SSCC berkata kejadian banjir turut berlaku di Jalan tengah, Kampung Parit Mahang dan Kampung Baru Sungai Buloh di daerah Kuala Selangor pagi ini berikutan kejadian hujan lebat yang menyebabkan paras air sungai meningkat.
“Empat buah rumah terlibat dalam kejadian banjir di Kampung Baru Sungai Buloh, manakala tiada sebarang penempatan terjejas di Jalan tengah, Kampung Parit Mahang,” katanya.
Kenyataan itu menyebut tiada sebarang pusat pemindahan dibuka setakat ini dan keadaan masih selamat dan terkawal. – BERNAMA

