KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia mengambil peluang cuti Sabtu hari ini untuk beriadah memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2018 dan menyertai pelbagai aktiviti sukan yang diadakan di seluruh negara.
Sejak awal pagi, masyarakat setempat beramai-ramai berkumpul menyertai pelbagai acara sukan yang diadakan bersempena HSN, acara tahunan yang diadakan pada minggu kedua setiap Oktober.
Bagi sambutan HSN peringkat kebangsaan di Bandar Sukan Kuala Lumpur yang dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kira-kira 20,000 orang awam daripada pelbagai lapisan umur menyertai pelbagai aktiviti sukan termasuk sukan elektronik yang diperkenalkan buat julung kali oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Bersama-sama rakyat sejak 8.30 pagi, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyertai acara Fun Ride 10km dan Fun Walk 3km.
Perdana Menteri kemudiannya meluangkan masa melawat gerai pameran sukan elektronik dan mencuba beberapa permainan elektronik yang diadakan.
Di PUTRAJAYA, kira-kira 15,000 pelajar dari sekitar pusat pentadbiran negara itu, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan menyertai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan bersempena HSN 2018 di Dataran Putrajaya.
Program dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching itu turut disertai atlet-atlet muda yang mengharumkan nama negara antaranya dalam Sukan Sea 2017, Sukan Asia 2018 dan Sukan Komanwel 2018.
Teo dalam ucapannya berkata program itu bukan sahaja menekankan aspek sukan, malah turut menitikberatkan aspek perpaduan, sejajar dengan agenda kerajaan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluangkan masa bersama hampir 1,000 penduduk setempat menyertai acara ‘bigwalk’ sejauh 1.5km di Kompleks Belia dan Sukan Pahang.
Pelbagai acara turut diadakan di venue berkenaan termasuk senamrobik mega, futsal, bola tampar, bola keranjang, bola sepak, petanque dan acara berkuda.

Di KEDAH, lebih 6,000 peserta menyertai acara Fun Ride, Fun Run dan Fun Walk di Kompleks Belia dan Sukan negeri, Alor Setar yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Di SELANGOR, sambutan HSN peringkat negeri di Taman Botani Shah Alam disertai kira-kira 6,000 orang yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik antaranya Hill Run 2018 sejauh tujuh dan tiga kilometer, program senam aerobik, pertunjukan silat dan program berbasikal di sekitar Taman Botani Shah Alam.
Turut diadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma selain pameran oleh kelab-kelab sukan dan rekreasi di Selangor.
Di TERENGGANU, Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar menyertai lebih 6,000 orang awam dalam pelbagai acara sukan menarik seperti Fun Ride, Fun Walk dan senamrobik di Dataran Batu Buruk.
Ahmad Shamsuri bersama beberapa anggota Exco kerajaan negeri, kemudian turut menyertai beberapa acara sampingan lain seperti bar steel, penalti shot, sukan tradisional, lompat tali untuk jantung dan Mari Mencuba E-Sport.
Di PULAU PINANG, kira-kira 60,000 peserta menghadiri sambutan HSN peringkat negeri yang dianjurkan di lima daerah berbeza di negeri itu yang melibatkan keseluruhan 120 buah program.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow melepaskan kira-kira 10,000 peserta pelbagai umur dan kaum yang menyertai acara larian dan berbasikal iaitu Mutiara Fun Run dan Fun Ride di Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong pula melepaskan kira-kira 3,000 peserta larian Fun Run sejauh 5 kilometer di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Di KELANTAN, kira-kira 10,000 peserta menyertai HSN yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Wan Roslan Hamat Wan Hamat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan di Panji, Kota Bharu.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan di venue berkenaan termasuk Fun Route sejauh 30 km, Fun Run (5km), Fitness Fiesta, E-Sports dan Muay Thai.
Di PERLIS, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan beberapa Exco kerajaan negeri menyertai kira-kira 10,000 orang awam menyertai pelbagai aktiviti sukan di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.
Antara aktiviti yang diadakan adalah Aerobicthon selama dua jam tanpa henti, kenduri rakyat, sepak raga tuju dan sukan integrasi Orang Kelainan Upaya.

Di PERAK, lebih 5,000 peserta menghadiri HSN di Kompleks Belia dan Sukan negeri di Ipoh yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How.
Pelbagai acara diadakan termasuk Fun Ride dan Fun Run yang diadakan di 17 lokasi berbeza di 12 daerah negeri itu secara serentak.
Sementara itu, seramai 250 pegawai dan anggota polis Perak menyertai HSN di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) iaitu 10,000 langkah, zumba dan kayuhan basikal sejauh 20 kilometer.
Di JOHOR, kira-kira 2,000 orang menyertai HSN yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar.
Pelbagai aktiviti diadakan seperti ‘Fun Ride’ dan ‘Selfie Run’ sejauh 5.4 km, senam aerobik, pemeriksaan kesihatan serta sesi ramah mesra dengan atlet Johor yang bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak bulan lepas.
Di SABAH. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata budaya bersukan bukan hanya merapatkan hubungan antara satu sama lain tetapi juga mampu mengatasi masalah kesihatan seperti obesiti dalam kalangan masyarakat khususnya warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah.
“Saya berharap aktiviti sukan seperti ini akan dapat diteruskan untuk memastikan tahap kecergasan dan kesihatan setiap individu sentiasa terjaga sepanjang masa,” katanya pada sambutan HSN peringkat PDRM kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kepayan, Kota Kinabalu. Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Jabatan Pengurusan merangkap Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah SAC Zulkarnain Abdul Rahman.
Di LABUAN, lebih 20,000 peserta dan pengunjung membanjiri Kompleks Laut Antarabangsa Labuan (LISC) yang menganjurkan 23 acara sukan membabitkan 10 segmen bersempena HSN.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Labuan (LC) Rithuan Ismail berkata Hari Sukan Negara membuktikan sukan menyatukan rakyat.
“Amat gembira dan tersentuh dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan penduduk Labuan hari ini, ia menunjukkan orang ramai mementingkan gaya hidup sihat,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan acara Fun Ride 30km dan Larian 7 km di LISC di sini.
Di SARAWAK, HSN peringkat negeri berlangsung di perkarangan Summer Mall di Kota Samarahan disertai ribuan warga Kota Samarahan, Kuching dan Serian.
Pelbagai aktiviti sukan diadakan, bermula dengan senamrobik beramai-ramai.
Aktiviti lain yang diadakan adalah demonstrasi seni mempertahankan diri oleh Markas 1 Divisyen Kem Muara Tuang, aksi terjunan dari bumbung Summer Mall oleh anggota bomba, sukan lasak, motosikal berkuasa tinggi, pertandingan bina badan, gusti lenggan, e-sports dan catur untuk orang kurang upaya. – BERNAMA
