JOHOR BAHRU – Seorang bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah wang milik syarikatnya berjumlah lebih RM8.6 juta.
Tertuduh, See Chou Shon, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.
See, sebagai Pengarah Eksekutif Syarikat Superplas Technology (M) Sdn Bhd, didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran sebanyak RM8,683,166.46 ke dalam akaun RHB Bank miliknya, yang didakwa dilakukannya di syarikat itu antara 16 Dis 2008 hingga 1 Jan 2014.
Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Aizatul Akmal kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin selain pasportnya ditahan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM50,000 pada hari ini manakala baki RM200,000 perlu dibayar sehingga 8 Nov ini. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Nov ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhana Adham manakala tertuduh diwakili peguam bela, G. Ravi. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..