BUKIT MERTAJAM – Polis merampas arak yang tiada permit kebenaran import kastam bernilai hampir RM100,000 dalam serbuan di sebuah premis menjual minuman keras di pekan Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam serbuan 4 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang merupakan penjaga premis berkenaan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata premis perniagaan itu juga tidak mempunyai lesen dan telah beroperasi sejak enam bulan lepas.
“Dalam serbuan itu, kami merampas ribuan botol arak tiada permit kebenaran import Kastam. Ada di antara arak dan minuman keras yang dijual di sini diragui ketulenannya dan tidak dinyatakan kilang atau pengeluarnya malah sebahagian daripada arak tersebut juga mempunyai kadar alkohol sehingga 60 peratus,” katanya di sini.
Beliau berkata kedai arak itu turut menggaji tiga lelaki Nepal dan seorang lelaki warga India yang kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan diri serta turut ditahan dan diserah kepada pihak imigresen.
Nik Ros Azhan berkata arak yang dirampas itu turut membabitkan beberapa jenama yang tersenarai dalam kes keracunan alkohol sehingga mengorbankan puluhan nyawa baru-baru ini. – BERNAMA

