DUA negara sekutu rapat di Asia Barat, Turki dan Qatar meningkatkan lagi hubungan dengan perjanjian kerjasama ekonomi dan perdagangan baharu.
Menteri Perdagangan Turki Ruhsar Pekcan dan Menteri Ekonomi dan Perdagangan Qatar Ahmed bin Jassim bin Mohammed al-Thani menandatangani perjanjian ini di Ankara semalam.
Bercakap kepada wartawan selepas pertemuan dengan delegasi Qatar, Pekcan berkata satu peringkat baharu persahabatan antara Turki dan Qatar telah dicapai.
“Kita menandatangani satu perjanjian istimewa berhubung pengukuhan persahabatan da hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.”
“Diharapkan perjanjian ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Perjanjian baharu ini bermatlamat mencapai liberalisasi menyeluruh perdagangan barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara.
Perjanjian yang meliputi perkhidmatan telekomunikasi dan kewangan ini merupakan satu langkah yang akan membantu Turki menghadapi defisit akaun semasa dan membawa pelaburan Qatar ke Turki.
Perjanjian ini dijangka mengurangkan kos produksi melalui bekalan bekalan minyak dan gas asli yang lebih murah.
Eksport Turki ke Qatar mencapai jumlah AS$611 juta dalam tujuh bulan pertama tahun ini, manakala importnya dari Qatar berjumlah AS$195 juta.
Perjanjian ini menunjukkan hubungan baik antara kedua-dua negara dan kesediaan Qatar membantu Turki pada masa negara anggota NATO itu ditekan oleh Amerika Syarikat melalui tarif lebih tinggi dan sekatan.
Hubungan Turki dengan AS semakin keruh kebelakangan ini ekoran tindakan Ankara membeli senjata terkini dari Rusia, selain merapatkan hubungan dalam mengurus isu serantau dengan Moscow dan Tehran.
Bulan lalu, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani melawat Ankara untuk menunjukkan sokongan pada Turki, dan menjanjikan pelaburan terus bernilai AS$15 bilion.
Qatar masih berdepan sekatan oleh dua negara Arab, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu yang bermula pada 2017.
Kedua-dua negara merapatkan kerjasama dalam pelbagai bidang sejak itu. – DS/Mynewshub.tv

