KUALA LUMPUR – Kabinet memutuskan hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu, baru-baru ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berkata kes dua wanita yang dihukum sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana cuba melakukan hubungan sejenis, dibincangkan oleh kerajaan dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.
“Sebaliknya kita tahu bahawa ini adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama kita perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara. Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam.
“Sebab itu kami berpendapat bahawa, kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya,” katanya dalam entri video di halaman Facebook Perdana Menteri, pagi tadi.
Dr. Mahathir berkata, adalah penting menunjukkan Islam sebagai agama yang bukan bengis yang suka menjatuhkan hukuman berat sehingga mengaibkan seseorang.
Perdana Menteri menegaskan , tindakan seumpama itu bukan cara yang digalakkan oleh agama Islam.
“Ini adalah pendapat Kerajaan dan kami harap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa.
“Sedangkan kita selalu, apabila bermula (memulakan) sesuatu dengan ‘Bismillahirrahmanirrahim’, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali,” katanya.
Isnin lalu, dua wanita menjalani hukuman enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu setelah didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta pada April lalu. – BH Online