BALAKONG – Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong setakat pukul 12 tengah hari ini masih agak rendah, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.
Beliau berkata setakat tengah hari ini, hanya 25 peratus daripada keseluruhan 62,219 pengundi berdaftar yang menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Kita ada lima jam setengah lagi, kita harapkan sasaran kita akan menuju ke arah 70 peratus seperti yang dijangka sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana, di sini, yang merupakan satu daripada 16 pusat pengundian dalam PRK DUN Balakong.
PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki menentang calon MCA Tan Chee Teong.
Beliau turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa keputusan PRK DUN Balakong dijangka diketahui kira-kira pukul 10 malam ini.
Mengulas insiden beberapa petugas media yang tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan di sekolah berkenaan sebelum ketibaannya pagi tadi, Mohamed Elias berkata ia kemungkinan berlaku kerana masalah komunikasi antara petugas pilihan raya dan media.
“Pertama sekali, kita mohon maaf atas perkara yang berlaku, sebenarnya kita jelas dengan arahan kita bahawa media dibenarkan membuat liputan di pusat mengundi cuma tak dibenarkan masuk di saluran.
“Mungkin ada salah faham di sini, antara saluran dan pusat mengundi mungkin petugas pilihan raya tidak jelas. Kita sentiasa bersama dengan media,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi. – BERNAMA