ANGGOTA polis yang menembak mati seorang lelaki di dalam pangsapurinya sendiri di Texas selepas tersalah masuk rumah telah ditahan.
Amber Guyger, 30 tahun, didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian.
Keluarga si mangsa, Botham Shem Jean yang berusia 26 tahun menuntut agar pegawai polis itu ditahan.
Mangsa dikatakan seorang Kristian yang warak, menamatkan pengajian dari sebuah universiti di Arkansas dan bekerja untuk syarikat multinasional Pricewaterhouse Coopers.
Guyger sudah berkhidmat dengan jabatan polis tersebut selama empat tahun dan ditugaskan di Bahagian Rondaan Tenggara.
Menurut pihak berkuasa, beliau ditahan di Jel Daerah Kaufman dan siasatan ke atasnya sedang dijalankan.
Beliau melunaskan jaminan sebanyak AS$300,000 dan telah dibebaskan.
Waran tangkapnya dikeluarkan selepas satu siasatan bebas oleh Renjer Texas dan Pejabat Peguam Daerah Dallas.
Keluarga mangsa telah mengambil khidmat Benjamin Crump, yang mewakili Trayvon Martin, remaja yang ditembak mati oleh sukarelawan keselamatan awam dan Michael Brown yang ditembak polis.
Kejadian di Dallas itu berlaku di sebuah apartmen mewah yang terletak satu blok daripada pejabat polis tersebut.
Menurut kenyataan polis, pegawai terbabit yang masih berpakaian seragam selepas tamat syif, memasuki apartmen yang disangka miliknya dan melihat Botham Shen Jean di dalam.
Masih tidak jelas apa berlaku selepas itu, tetapi pegawai polis itu kemudian melepaskan tembakan.
Pegawai polis itu kemudian memanggil bantuan dan mangsa mati tidak lama selepas dibawa ke hospital.
Guyger dikenakan ujian dadah dan alkohol di tempat kejadian.
Mangsa dikenali sebagai seorang yang disenangi masyarakat sekeliling, dan datuk bandar sendiri menyampaikan simpati dan rasa dukacita atas kematiannya. – BBC

