KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme khusus bagi melindungi penjawat awam yang memberi maklumat berhubung penyelewengan dan salah laku dalam pentadbiran.
Katanya perkara ini penting supaya ‘whistleblower’ atau pemberi maklumat dilindungi undang-undang, di samping mengikuti proses yang lebih jelas dan teratur.
Beliau berkata kerajaan boleh menggunakan konsep sama seperti diamalkan kebanyakan syarikat sektor swasta iaitu menyediakan satu email dan nombor telefon khusus buat pengadu.
“…dan penerima aduan tidak akan mendedahkan identiti pengadu terbabit. Kerajaan boleh tentukan nak bawa laporan itu pada ketua setiausaha kementerian atau menteri sendiri, (mereka perlu) adakan polisi. Saya difahamkan belum ada lagi dasar atau polisi khusus berkait perkara ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan seminar bertajuk ‘Pengasingan Kuasa: Di Mana Garisan Neutraliti Penjawat Awam?’ anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.
Sementara itu, Zaki ketika berucap berkata tanggungjawab utama penjawat awam adalah untuk memberi nasihat kepada pemimpin politik mengenai cara melaksanakan dasar tanpa melanggar undang-undang.
Katanya penjawat awam juga tidak boleh terpesong dan menyebelahi mana-mana parti politik dengan berkempen dan menggunakan peruntukan serta kemudahan kerajaan bagi pihak tertentu.
“Tetapi penjawat awam juga mempunyai tanggungjawab besar membantu kerajaan baharu ini untuk melaksanakan polisi mereka,” katanya. – BERNAMA

