KUALA NERANG – PAS tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang ingin tutup pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan beroperasi secara haram sebaliknya ia perlu dibantu dan diurus dengan cara terbaik.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun terdapat pusat tahfiz yang beroperasi tanpa lesen, kerajaan perlu beri kebenaran untuk ia terus beroperasi kerana tujuan utama penubuhan tahfiz tersebut adalah baik.
“Mereka hendak tutup tahfiz kerana haram… saya hendak tahu kenapa haram? Kalau haram sebab tidak ada lesen itu tidak betul kerana kalau tujuan itu baik, ia perlu diberi kebenaran untuk terus beroperasi jadi saya tidak setuju kalau pusat tahfiz tersebut ditutup.
“Mereka (kerajaan) sepatutnya perlu bantu untuk uruskan pusat-pusat tahfiz ini dan bukannya ambil langkah menutupnya,” katanya ketika diminta mengulas berkaitan penutupan pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan beroperasi secara haram.
Pada 25 September lalu, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dalam laporan media memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar terjamin.
Tindakan itu susulan seorang pengetua pusat tahfiz yang dipercayai meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun malah pusat tahfiz berkenaan didapati beroperasi secara haram. – BERNAMA