BANTU… Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan buat penampilan dalam majlis MCA untuk sokong calon mereka, Tan Chee Teong membuktikan PAS dan MCA kini semakin sefahaman.
Portal berita tempatan melaporkan, Takiyuddin muncul pada pentas MCA di kawasan kejiranan Melayu di Taman Tun Perak, di mana beliau bercakap tentang keperluan untuk semakan dan imbangan.
“Negara kita telah hadapi tsunami politik dan bawa perubahan dari peringkat persekutuan ke negeri-negeri. Kami menukarnya daripada BN kepada PH (Pakatan Harapan). Ramai berpendapat PH akan jadi kerajaan yang baik.
“Kerajaan yang boleh dipercayai dan kerajaan yang membawa harapan. Tetapi, ia sebenarnya kerajaan yang tidak mempunyai harapan dan menghancurkan harapan rakyat,” kata Takiyuddin dalam nada sinis kepada hadirin.
Oleh itu, beliau menekankan konsep “semak dan imbang” yang dipromosikan oleh MCA, dan menggesa rakyat, bukan sahaja ahli dan penyokong PAS, tetapi semua rakyat dari Balakong untuk menyokong Chee Teong.
Bercakap kepada media kemudian, Takiyuddin berkata PAS menyokong MCA untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong dalam semangat perpaduan pembangkang, yang disokong oleh Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata pihak PAS sebelum ini telah mendedikasikan sumbernya untuk membantu calonnya pada PRK Seri Setia dan hanya dapat membantu MCA sekarang.
Takiyuddin kelihatan berbual dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Senator Ti Lian Ker – kedua-duanya adalah pengkritik vokal terhadap PAS pada masa lalu. – Agensi/Mynewshub.TV

