JOHOR BAHRU – Polis memburu seorang lelaki dikehendaki yang bertindak melanggar sekumpulan polis ketika cuba meloloskan diri bagi mengelakkan daripada ditahan di Bayu Damai, Kota Tinggi, malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, dalam kejadian pukul 8.05 malam itu, suspek berusia 28 tahun bersama-sama isterinya berusia 40 tahun yang berada dalam sebuah kereta dihampiri sepasukan polis untuk membuat pemeriksaan.
Katanya, suspek yang cemas dengan kehadiran polis itu bertindak melarikan diri dengan memecutkan kenderaan dan hampir merempuh anggota polis bagi mengelakkan daripada ditahan.
“Tindakan agresif suspek itu menyebabkan anggota polis kemudiannya melepaskan tiga das tembakan ke arah kenderaan berkenaan dan dua daripadanya terkena bahagian belakang dan peha wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.
“Suspek itu kemudiannya berjaya meloloskan diri dan pihak polis sedang berusaha mengesan lelaki terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pagi ini.
Mohd. Khalil berkata, wanita itu yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini kini berada dalam keadaan stabil.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa kes lampau antaranya melibatkan kegiatan mencuri kenderaan dan berkaitan dadah.
“Kes masih dalam siasatan. Selain itu, kita juga melihat prosedur operasi standard (SOP) tindakan anggota polis melepaskan tembakan sama ada patuhi piawaian atau tidak,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

