PUTRAJAYA – Seramai 338 orang warga asing ditahan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya di sebuah kawasan kilang di Cyberjaya.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pekerja asing yang ditahan itu antaranya terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kebanyakannya bekerja menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki oleh beberapa syarikat yang berlainan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustafar berkata hasil pemeriksaan juga mendapati beberapa syarikat didapati membekalkan tenaga pekerja warga asing yang mempunyai PLKS atas syarikat lain tetapi bekerja di syarikat yang lain.
“Majikan dan pemilik syarikat ini secara terang-terangan telah melanggar peraturan-peraturan dan syarat-syarat Imigresen terhadap pembekalan tenaga pekerja asing.
“Majikan melanggar undang-undang dan mengambil jalan mudah walaupun menyedari peraturan menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai PLKS harus bekerja di alamat, kawasan dan tempat yang tertera dalam permit kerja yang sedia ada,” katanya.
Menurut beliau jika didapati pekerja asing itu bekerja selain daripada kawasan atau alamat yang tercatit dalam pas kerja, pekerja asing tersebut boleh ditahan kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan dan boleh dibatalkan kerana melanggar syarat pas.
Tambahnya antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pelanggaran syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan susulan, katanya. – BERNAMA

