Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) memuji Jabatan Imigresen melaksanakan operasi besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.
Ketua Penyelarasnya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, operasi berterusan itu amat penting dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara selain melindungi kepentingan rakyat Malaysia daripada pelbagai implikasi sosial dan ekonomi.
Namun begitu, katanya, satu persoalan yang terus timbul apabila status sebenar ribuan PATI yang ditahan masih belum didedahkan kepada umum.
“Pemerhatian REACH mendapati angka itu mencapai beribu-ribu, tetapi kerajaan belum mendedahkan status sebenar mereka sama ada dihantar pulang, diberi permit atau dihadapkan ke mahkamah?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Iskandar berkata, REACH menggesa kerajaan supaya lebih telus dengan mendedahkan statistik lengkap bagi setiap operasi yang dijalankan.
Kata beliau, ia termasuk jumlah PATI yang diputihkan atau diberikan permit, yang dihantar pulang ke negara asal, yang dihadapkan ke mahkamah serta dikenakan hukuman selain bilangan mereka yang didapati memiliki permit sah ketika pemeriksaan dilakukan.
Dalam masa sama, REACH turut meminta kerajaan memperjelaskan tindakan terhadap premis terlibat termasuk status premis yang disita, tindakan terhadap pemilik premis sama ada dikompaun atau dihadapkan ke mahkamah.
Beliau turut mempersoalkan sama ada premis perniagaan atau kilang tersebut kembali beroperasi dengan menggunakan tenaga kerja warga asing selepas serbuan dijalankan.
Menurutnya, pendedahan data yang menyeluruh bukan sahaja dapat memberi gambaran sebenar mengenai kedudukan PATI di negara ini, malah mampu meredakan keresahan rakyat serta menangkis sebarang tohmahan yang kini tersebar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Iskandar Abdul Samad


