KUALA LUMPUR – Anggota UMNO kini perlu bergerak sebagai pembangkang dan membina penetapan minda sebagai pembangkang.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata mereka tidak perlu bersungguh-sungguh untuk menawarkan khidmat kerana itu adalah kerja kerajaan dan bukan kerja pembangkang.
“Banyak khidmat yang kita buat dulu, sudah jadi tanggungjawab kerajaan sekarang. Manfaatkan kuasa jari-jemari kita untuk menyerang dan mengkritik dasar-dasar kerajaan hari ini yang merugikan orang Melayu, wanita muda dan Bumiputera.
“Kita kena kikis perasaan manja, kalau kita boleh ‘survive’ semua ini, kita akan jadi kumpulan yang kuat. Dulu pembangkang ‘survive’, kenapa kita tidak,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Pergerakan Puteri UMNO di sini, hari ini.
Zahida turut menegaskan Puteri UMNO perlu bangkit lebih agresif sesuai dengan keperluan dan pemikiran kurun ke-21 dan memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan hati wanita muda.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad berkata satu pasukan petugas akan diwujudkan di peringkat pergerakan itu bagi menambah baik dan memastikan gerak kerja sayap parti itu mengikut kesesuaian demografi setiap kawasan.
Beliau berkata pihaknya akan memastikan jentera Wanita menambah baik cara mereka membaca sikap rakyat di setiap kawasan.
“Ini kerana kawasan Parlimen Parit Sulong tidak semestinya sama dengan kawasan (Parlimen) Ketereh, jauh lagi la hendak sama dengan Putrajaya. Kerana itulah pembaikan akan kita buat berdasarkan konsep ‘bottom-up’ tanpa kita meninggalkan konsep yang ada sedia sekarang,” katanya dalam ucapan penangguhan Persidangan Wanita UMNO. – BERNAMA