KUALA LUMPUR – Aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 membabitkan Malaysia dan Jepun yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, petang ini, terpaksa ditangguhkan esok.
Ini berikutan satu lagi aksi dalam kumpulan sama yang sepatutnya dimulakan serentak melibatkan perlawanan antara Thailand dan Tajikistan di Stadium Arena Universiti Malaysia (UM) terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk.
Terdahulu, perlawanan antara Thailand dan Tajikistan di di Arena UM dijadual bermula pada jam 4.30 petang tetapi ditunda ke jam 5 petang susulan hujan lebat sebelum ditangguhkan buat kali kedua pada jam 5.30 petang.
Hasrat ribuan penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada barisan pemain skuad kendalian ketua jurulatih Lim Teong Kim tidak kesampaian selepas keputusan menangguhkan perlawanan di buat pada jam 6 petang.
Kedua-dua perlawanan akan diadakan serentak esok pada jaml 11 pagi di venue sama.
Jepun kini mengungguli saingan Kumpulan A dengan empat mata diikuti Malaysia dan Thailand yang berkongsi tiga mata sementara Tajikistan tercorot dengan satu mata. — BERNAMA