SHAH ALAM – Lebih 22,000 alumni Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), Universiti Teknologi Mara (UITM) meraikan Sambutan 50 Tahun Jubli Emas fakulti tersebut yang dahulu dikenali sebagai Kajian Sains Perpustakaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Promosi dan Publisiti Dr Saidatul Akmar Ismail berkata peranan perpustakaan dan pusat maklumat di alaf 21 ini diterima dengan baik sebagai repositori pengetahuan dan memainkan peranan aktif pemangkin pembangunan negara.
“Untuk memastikan perpustakaan terus memainkan peranan utama dalam pembangunan negara, beberapa aspek sains perpustakaan dan pentadbiran perpustakaan perlu dikaji dan dipelajari untuk membawa prinsip dan amalan yang baik dalam kalangan mereka yang tergolong dalam profesi perpustakaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata tujuh program dianjurkan warga akademik dan pentadbiran fakulti bagi pengisian acara sambutan itu menjurus ke arah tema sambutan itu sendiri iaitu “Transformasi Masyarakat Bermaklumat di Era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) (1968-2018).
“Mengimbau kembali kumpulan pertama pelajar dalam program ini pada bulan Julai 1968, cuma ada 10 pelajar. Sejak itu, tiada sesiapa yang dapat membayangkan perubahan demi perubahan dan berkembangnya pendidikan sains perpustakaan di Malaysia,” katanya.
Beberapa pengisian program dirancang bagi menghargai sumbangan fakulti dalam bidang sains perpustakaan dan pengurusan maklumat di Malaysia antaranya karnival IM50, Majlis Makan Malam Amal Bersama Alumni, Program Pengkisahan Sejarah FPM dan Pertandingan Boling 1M50.
Saidatul Akmar berkata selain menyambut 50 tahun penubuhan FPM, objektif utama sambutan ialah meraikan warga FPM, berkongsi pengkisahan sejarah dan pencapaian FPM, merakyat dan membudayakan peranan FPM ke dalam jiwa warga FPM dan masyarakat serta mengeratkan lagi hubungan di antara FPM, alumni dan industri.
Sambutan julung kali ini diadakan di Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), UITM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Perdana, di sini sepanjang bulan September hingga November. – BERNAMA

