MOHAMMED Salah mengkritik Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) secara terbuka di media sosial selepas pertikaian mengenai hak imej.
Bintang Liverpool itu berbalah dengan EFA pada masa lalu dan ia kembali panas apabila Salah membangkitkan perkara tersebut di laman Twitternya.
“Adalah normal sebuah persatuan bola sepak cuba menyelesaikan masalah pemain supaya mereka boleh berasa selesa.
“Namum hakikatnya, apa yang saya lihat adalah bertentangan.
“Adalah tidak normal mesej saya dan surat peguam tidak diendahkan.
“Saya tidak tahu mengapa semua ini berlaku. Adakah anda tiada masa untuk memberi reaksi balas kepada kami,” katanya.
Ejen Salah, Ramy Abbas Issa turut bersuara mengenai isu tersebut.
“Kami meminta jaminan mengenai kesejahteraan Salah sementara bersama pasukan kebangsaan dan jaminan bahawa pelanggaran hak asasi tidak akan berlaku lagi.
“Itu sahaja. Mereka masih belum memberi reaksi balas,” katanya.
Selepas aksi Piala Dunia yang mengecewakan, Salah akan kembali memperkuat negaranya bulan ini berdepan Niger dibawah kendalian jurulatih baharu, Javier Aguirre.
Namun penyertaannya dalam Piala Negara-Negara Afrika masih menjadi teka-teki susulan pertikaiannya dengan EFA. – mStar Online