PESAT… Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu batal projek Hubungan Rel Pantai Timur (ECRL) konon tidak beri keuntungan kepada rakyat, China mula bertindak balas tangkis fitnah itu.
Agensi berita rasmi milik pemerintah, Xinhua semalam menyiarkan artikel khas mengenai kisah kejayaan rangkaian perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah, bahagian penting dalam misi inisiatif One Belt One Road (OBOR).
Diasaskan daripada cerita gemilang Laluan Sutera yang wujud dua ratus tahun sebelum Masihi, OBOR atau bererti satu bengkung satu jalan diperkenalkan Presiden China, Xi Jinping pada 2013 dalam usaha perkasa ekonomi dunia.
Di sebalik kritikan pihak anti-China, projek landasan terpanjang di dunia sejauh 13,000 kilometer antara Yiwu di wilayah Zhejiang dan ibu kota Sepanyol, Madrid itu rupa-rupanya menjadi pilihan pengangkutan kargo jarak jauh.
Dengan perkembangan pesat China sebagai kuasa ekonomi dunia, tren itu sudah catat 10,000 trip sejak permulaan operasinya pada Mac 2011 atau secara purata 1,430 perjalanan dalam setahun atau bersamaan 119 trip setiap bulan.
Rekod bersejarah itu dilakar pada 27 Ogos lalu menerusi ketibaan kereta api kargo X8044 dari Hamburg, Jerman di pusat kontena Wujiashan, di wilayah Hubei, China sekali gus ‘buka mata’ banyak pihak mengenai potensi OBOR.
Dalam tempoh tujuh tahun lalu, tren ini angkut pakaian, alat ganti automobil, kimia dan barangan lain China untuk pengguna Eropah sambil membawa balik bahan makanan, jentera, peralatan Eropah dan juga produk hiliran balak.

Sehingga 30 Jun lepas, Xinhua melaporkan bahawa perkhidmatan kereta api kargo negara terbesar di rantau Asia Timur itu malahan berjaya menghubungkan 48 buah bandar domestik di China dengan 42 kota di benua Eropah.
Ia jadi pilihan banyak syarikat kerana tempoh perjalanannya cuma 21 hari berbanding enam minggu dengan kapal laut dan tiga kali ganda lebih mesra alam sekitar jika dibandingkan dengan penggunaan lori kargo di jalan raya.
Tidak hairanlah China begitu berminat memajukan ECRL bagi memajukan perkhidmatan rel yang lebih cekap dan pantas di rantau Asia Tenggara berbanding kapal kontena perlu ambil masa beberapa hari jika melalui Singapura.
Khidmat tren ini bahkan menonjolkan keterbukaan pihak China dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi global dengan banyak negara Eropah yang menyertai inisiatif OBOR, menurut kenyataan oleh pihak China Railway Corp.
Tahun ini menandakan tahun kelima inisiatif antarabangsa ini, rangkaian pengangkutan kargo transnasional yang berjaya menghubungkan Asia dengan Eropah, selain OBOR turut melibatkan projek rel mega di seluruh Afrika.
Ini terbukti apabila dalam tempoh lima tahun lalu, perdagangan China dengan negara-negara di sepanjang laluan rel tersebut melebihi AS$5.5 trilion (kira-kira RM37.4 trilion), sekali gus meminggirkan Amerika Syarikat dan Jepun!
Pelaburan langsung China dalam sektor bukan kewangan di negara-negara ini malah telah mencecah AS$80 bilion (RM544 bilion) dalam tempoh sama dan jumlah itu dijangka terus meningkat setiap tahun. – Mynewshub.TV

