KOTA KINABALU – Perkhidmatan kaunseling di setiap sekolah di negeri ini amat penting dalam memberi bimbingan dan nasihat khususnya kepada pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan pembelajaran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata perkhidmatan itu perlu ditingkatkan di setiap sekolah kerana ia satu pendekatan terbaik bagi memastikan para pelajar sentiasa mendapat perhatian dan bimbingan memandangkan peratusan masalah pembelajaran dan disiplin seperti ponteng sekolah semakin meningkat.
“Peranan kaunselor (di sekolah) cukup penting untuk membimbing para pelajar supaya mereka menyedari apa kelemahan mereka dan bagaimana memperbaikinya.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha menarik minat para pelajar untuk menghadiri sekolah sekali gus berjaya dalam pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Amalan dan Pengurusan Terbaik Kaunseling Sekolah Rendah dan Menengah peringkat negeri di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Rosmawati Lasuki dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.
Seminar sehari itu adalah perkongsian pintar antara Yayasan Sabah; Pejabat Pendidikan Tuaran dan sekolah di seluruh negeri bertujuan memberi pendedahan kepada guru kaunseling berkaitan pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekali gus meningkatkan profesionalisme dalam bidang itu. — BERNAMA
