GENEVA – Tentera Myanmar yang membunuh dan merogol etnik Islam Rohingya dengan ‘niat melakukan pembunuhan beramai-ramai’, dan pemerintah tentera serta lima jeneral perlu didakwa di atas jenayah keji menurut undang-undang antarabangsa, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Laporan penyiasat itu adalah yang pertama mendorong PBB mendesak pegawai Myanmar dihadapkan dengan dakwaan pembunuhan beramai-ramai berhubung kempen ke atas penduduk Rohingya, dan berkemungkinan memburukkan sesi pemulauan negara itu.
Penyiasat menggesa Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan senjata terhadap Myanmar, menjadikan pegawainya sebagai sasaran sekatan dan menubuhkan tribunal segera untuk membicarakan suspek atau merujuk mereka kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.
Laporan turut bertindak sebagai pemangkin utama bagi perubahan bagaimana syarikat media sosial gergasi dunia mengendalikan ucapan kebencian di wilayah yang menyaksikan kehadirannya terhad tetapi mempunyai pengaruh besar.
Penyiasat mengkritik tajam Facebook, yang menjadi rangkaian media sosial berkuasa di Myanmar walaupun tidak mempunyai pekerja di negara itu, kerana membiarkan ia digunakan untuk menghasut keganasan dan kebencian.
Facebook memberi reaksi semalam dengan mengumumkan menyekat akaun 20 pegawai dan pertubuhan yang panel didapati melakukan pencabulan hak asasi manusia serius.
Penyiasat juga menyalahkan ketua umum Myanmar, Aung San Suu Kyi, kerana gagal melindungi penduduk awam.
Kerajaan pimpinan beliau menyumbang kepada jenayah itu, dengan membiarkan ucapan kebencian berkembang, memusnahkan dokumen dan gagal melindungi minoriti daripada jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.
“Hasil kajian kami kukuh. Kami percaya menunjukkan fakta adalah batu loncatan pertama ke arah perubahan,” kata pengerusi panel itu, Marzuki Darusman kepada sidang akhbar semalam. — Reuters/BH ONLINE

