KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun bagi membantu siasatan kejadian kebakaran di sebuah kedai motosikal di Jalan Sentul di sini, malam semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya percaya berlaku perselisihan faham antara suspek dan wanita yang memiliki kedai berkenaan ketika berbincang mengenai perniagaan di premis itu.
“Ada unsur jenayah dalam kejadian ini, polis percaya suspek menyimbah minyak petrol ke arah wanita itu sehingga berlaku kebakaran.
“Suspek merupakan pembekal aksesori di kedai milik wanita itu dan polis masih lagi menyiasat motif sebenar kejadian ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.42 malam itu, seorang wanita tempatan berusia 51 tahun ditemui rentung manakala tiga lelaki termasuk suspek dan seorang warga Pakistan, cedera.
Mazlan berkata kesemua yang cedera dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
“Kesemua mangsa yang cedera dilaporkan stabil,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur Ruhisha Haris berkata kedai motosikal tersebut terbakar sepenuhnya manakala sebuah klinik persendirian di tingkat dua serta tingkat tiga dan empat yang menempatkan bilik asrama pekerja hanya terbakar 30 peratus.
Dalam perkembangan lain, Mazlan meminta semua pihak yang ingin mengadakan perhimpunan aman di sekitar ibu negara agar memberi notis kepada pihak polis.
Katanya notis hendaklah diserahkan dalam tempoh 10 hari dari tarikh perhimpunan itu diadakan bagi memaklumkan tujuan perhimpunan.
“Selepas notis itu diserahkan penganjur, kita akan buat keputusan sama ada perhimpunan itu dibenarkan atau tidak,” katanya yang merujuk kepada tindakan beberapa pihak sebelum ini yang menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran polis, antaranya perhimpunan membantah cadangan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu di hadapan sebuah pusat beli-belah, bulan lepas.
Terdahulu, Mazlan menyaksikan majlis serah tugas antara Pegawai Turus Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Supt Noor Azmi Yusoff yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif yang bertukar ke jabatan tersebut. – BERNAMA

