Raub: Polis mengesahkan identiti lima sekeluarga yang terkorban dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Mohd Shahril Abdul Rahman, memaklumkan mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri bersama tiga anak perempuan mereka, berusia antara 10 hingga 17 tahun.
Menurut beliau, mangsa dewasa dikenal pasti sebagai peniaga, Mohd Alawi Muhammad, 56, dan isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44. Tiga anak perempuan pasangan itu ialah Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17; Ruby Adlina Banin, 14; serta Ruby Azyan Barizah, 10.
Beliau berkata, dua lagi anak pasangan tersebut tidak berada di rumah ketika kejadian.
Anak perempuan berusia 19 tahun sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej matrikulasi di Gambang, manakala anak lelaki berusia 15 tahun menetap di asrama SMK Dong.
“Kesemua lima jenazah telah dibawa ke Hospital Raub bagi proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak polis menerima makluman mengenai kebakaran itu sekitar jam 3.40 pagi sebelum anggota polis dan pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Dalam kejadian berkenaan, kebakaran turut memusnahkan tiga buah kereta serta tiga motosikal yang berada di perkarangan rumah.
Tragedi ini mengundang rasa pilu penduduk setempat dan orang ramai, dengan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan kebakaran tersebut.-MYNEWSHUB


