KUALA LUMPUR – Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter di kawasan Lembah Klang perlu membuat pembayaran tambang perjalanan tanpa tunai berkuat kuasa 10 September ini.
Pengurus Besar Perolehan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Hider Yusoff berkata, sebagai permulaan pelaksanaan ini, bayaran tambang tanpa tunai diwajibkan ke atas penumpang dewasa dan pelajar.
“ini bermakna tiada bayaran tambang secara tunai diterima daripada penumpang dewasa dan pelajar.
“Walau bagaimanapun, kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) masih boleh membayar tambang secara tunai dan perlu mendapatkan token di kaunter tiket,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran program KTM Komuter Go Cashless di KL Sentral di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter, Khair Johari Ishak.
Bagi pelaksanaan ini, sebanyak 30,000 kad Komuter Link (dewasa) akan diberikan secara percuma mulai 10 sehingga 16 September ini yang boleh diperoleh di mana-mana stesen utama KTM Komuter. – UTUSAN ONLINE
