BEIRUT – Konflik tanpa henti selama tujuh tahun di Syria menyebabkan kemusnahan bernilai hampir AS$400 bilion (RM1.63 trilion), kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Data itu diterbitkan, selepas mesyuarat dua hari membabitkan lebih 50 pakar dari Syria dan negara jiran Lubnan, anjuran Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Barat Asia PBB (ESCWA).
“Jumlah kemusnahan modal fizikal dan sektor pengedarannya dianggarkan lebih AS$388 bilion (RM1.58 trilion).
“Data itu tidak mengambil kira kerugian manusia akibat kematian, kerugian akibat kecacatan dan buruh berkemahiran akibat masalah pelarian yang dianggap sebagai penyumbang paling penting kepada ekonomi Syria,” kata ESCWA.
Lebih separuh populasi sebelum perang Syria sudah melarikan diri dari negara itu atau menjadi pelarian dalam negara, sejak tujuh tahun lalu. – AFP/BH ONLINE