JOHOR BAHRU – Kira-kira 15,000 penduduk setinggan di daerah ini yang tinggal secara haram di tanah kerajaan terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan warga asing.
Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata sebagai sebuah bandar raya yang membangun, kedatangan mereka tidak boleh dinafikan kerana selain mencari rezeki, mereka juga adalah nadi kepada bandar raya ini.
Beliau berkata dengan memperoleh pendapatan rendah, usaha bagi mereka untuk menyewa rumah adalah mustahil kerana kadarnya yang agak mahal.
“Saya sedang mengenal pasti tanah kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak Program Perumahan Rakyat (PPR) yang keperluannya begitu tinggi,” katanya pada sidang media selepas hadir Mesyuarat Tindakan Daerah Johor Bahru di pejabat daerah hari ini.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata kerajaan negeri juga sedang mengkaji dasar Perumahan Rakyat Johor termasuk cadangan menggunakan slogan baharu Rumah Mampu Biaya yang akan diumumkan kemudian.
Dalam perkembangan lain, Osman berkata kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), terutama dari segi perincian dan kewangan, untuk membina tram dalam tempoh tiga tahun lagi, merangkumi di sekitar Johor Bahru, Medini City, Pasir Gudang dan sebahagian Kulai.
“Ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan jalan raya dan pencemaran udara tetapi menjadi daya tarikan pelancong untuk datang ke negeri ini,” katanya. – BERNAMA

