KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata ada bukti kukuh mengenai pendedahannya berhubung sejumlah RM7.43 juta daripada RM7.6 juta perbelanjaan dan pembayaran yang dibuat oleh Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), tidak dapat dikesan.
Beliau berkata perkara itu adalah hasil daripada audit dalaman yang dibuat ke atas institut itu.
“Saya tak akan dedahkan melainkan saya ada bukti. Orang bila kita londeh seluar dia, tak kan dia nak mengaku. Serahkan pada pihak berkuasa… Saya bertanggung jawab apa yang saya kata,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan IKSIM semalam yang menyifatkan pendedahannya itu sebagai fitnah serta berdasarkan dapatan pasukan audit dalam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bukan juruaudit bertauliah.
Mujahid mendedahkan mengenai perkara tersebut ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin, serta menyatakan hasil audit dalaman terhadap institut berkenaan mendapati wujud prosedur kewangan tidak jelas serta pembelian yang tidak selari dengan tujuan permohonan. – BERNAMA