REMBAU – Sekumpulan 50 penduduk berhimpun di hadapan Masjid Jamek An-Nur di sini bagi menyatakan bantahan terhadap penutupan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Rembau yang diumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, baru-baru ini.
Kumpulan terbabit diketuai Anggota Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris yang menegaskan bantahan itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya demi kepentingan masyarakat di daerah berkenaan.
“Kita tahu sejak adanya RTC ini, ia banyak beri manfaat dan faedah kepada penduduk Rembau khususnya orang kampung. Jadi mereka tidak perlu bersusah payah pergi ke pusat bandar atau Seremban untuk mendapatkan perkhidmatan.
“Namun penutupan RTC ini bukan sahaja menjejaskan kepentingan masyarakat di sini tetapi turut akan menyukarkan mereka kerana terpaksa berulang-alik dari Rembau ke Seremban,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zaifulbahri mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri untuk membuka sebuah lagi RTC di Jempol, namun pada masa sama berharap operasi RTC Rembau dikekalkan.
Pada Rabu lepas, Aminuddin dipetik sebagai mengesahkan RTC di Rembau akan ditutup dan RTC baharu dibuka di Jempol.
Aminuddin berkata penubuhan RTC di Jempol lebih strategik dan amat diperlukan penduduk sedangkan penduduk Rembau boleh menggunakan perkhidmatan serupa di Pusat Transformasi Bandar Seremban, kira-kira 20 kilometer dari daerah itu.
Sementara itu, pekerja swasta Amri Muhammad, 35, berkata penutupan RTC tersebut akan menyebabkan penduduk menanggung kos perjalanan lebih tinggi untuk ke Seremban.
“Selama ini kita dapat kurangkan kos perbelanjaan kerana tidak perlu ke Seremban untuk memperbaharui pasport…bayangkan kalau RTC ditutup, ia akan menyukarkan penduduk Rembau khususnya mereka yang tidak memiliki kenderaan untuk pergi ke sana,” katanya yang tinggal di daerah berkenaan. – BERNAMA

