TAWAU – Sebuah kapal tongkang hanyut sejauh satu batu dan melanggar tiga rumah di perkampungan atas air di Lorong Jambatan Gelama, Kampung Pukat di Tanjung Batu Laut dekat sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata dalam kejadian pada 6.39 pagi akibat cuaca yang tidak menentu dan laut bergelora itu, tiga rumah yang didiami 24 penghuni tersebut roboh.
“Semasa kejadian juragan tongkang tertidur dan menyedari tongkang menghampiri kawasan rumah selepas mendengar bunyi hon bertalu daripada bot lain, namun juragan itu tidak sempat mengemudi tongkang ke arah lain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pemilik rumah, Mohammed Kassim,52, berkata angin kencang itu bermula pada 6.15 pagi sebelum beliau tiba-tiba mendengar bunyi hentakan kuat dari arah bawah tiang rumahnya.
“Sebuah bot tongkang telah merempuh bahagian tiang rumah sehingga ia bergoyang,” katanya yang sempat mengarahkan semua anggota keluarganya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Kesemua mangsa kini ditempatkan sementara di sebuah rumah jiran di kawasan kampung itu. – BERNAMA