JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini dengan penahanan lima lelaki tempatan dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM126,000, di sini, dua hari lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor ACP Lukas Aket berkata kesemua mereka yang ditahan menerusi dua serbuan di sekitar Kempas, di sini, mulai 2 petang hingga 7 malam itu berumur antara 22 dan 42 tahun.
“Kesemua dadah yang dirampas melibatkan 7.1 kilogram disyaki heroin, 56 gram ganja dan 400 gram syabu, dipercayai untuk edaran tempatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Lucas berkata polis turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi, Volkswagen Polo dan Honda CR-Z, motosikal Yamaha LC, 11 telefon bimbit serta wang tunai RM2,800 dengan keseluruhan nilai RM91,000.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis morfin dan tiga daripadanya memiliki rekod jenayah berkaitan dadah serta jenayah.
Kesemua mereka direman hingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

