Sunday, April 28, 2024

Creating liberating content

Piala Asia: Kim Swee...

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee sudah mula...

Kacang Tumbuh Dalam Telinga...

BEIJING - Seorang budak lelaki terpaksa menjalani pembedahan selepas sebutir kacang tersangkut di dalam...

Hafarizam Tak Mengaku Terima...

KUALA LUMPUR - Peguam yang juga Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun...

Banjir: Polis Johor Diletakkan...

JOHOR BAHRU: Polis Johor diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga susulan amaran banjir dikeluarkan Jabatan...

Putin Raikan Kejayaan Politik Piala Dunia 2018

RUSIA memberikan persembahan yang boleh dibanggakan dalam kejohanan Piala Dunia 2018 di negara sendiri, melepasi jangkaan hampir semua pihak tentang keupayaan pasukan bola sepak Rusia.

Pasukan Rusia tewas kepada Croatia di peringkat suku akhir melalui penentuan penalti, kekalahan yang boleh dikatakan tidak memalukan kepada naib juara tahun ini.

Apa yang penting, pasukan Rusia tidak boleh lagi dipandang rendah dalam arena bola sepak antarabangsa, sekurang-kurangnya dalam kejohanan Piala Dunia tahun ini.

Apa yang mungkin lebih penting ialah manfaat politik yang diperolehi oleh Presiden Rusia Vladimir Putin melalui kejayaan penganjuran Piala Dunia kali ini.

Bagi ramai peminat yang berkunjung ke Rusia, ini merupakan kali pertama mereka melihat sisi baik negara yang sering dikutuk dan diburukkan oleh media Barat itu.

Ramai yang pertama kali menjejakkan kaki ke Moscow dan Rusia, pertama kali melihat keindahan Rusia dan pertama kali mengalami kecanggihan keretapi metro Rusia.

Peminat-peminat bola sepak dari England sendiri, sebuah negara yang kuat bermusuh dengan Rusia juga terpesona dengan layanan mesra Rusia.

Britain sedang mengalami krisis diplomatik terburuk dengan Rusia sejak Perang Dingin beberapa bulan lalu ekoran kes serangan racun yang didakwa didalangi Rusia.

Beberapa bulan menjelang Piala Dunia, Rusia menjadi sasaran kritikan dan tindakan politik Barat, terutama daripada Britain dan Amerika Syarikat.

Isu hak asasi manusia, hubungan politik dengan Iran, Bashar al-Assad di Syria, tindakan di Crimea dan Ukraine semuanya menjadi isu yang menyebabkannya teruk dikecam Barat.

Di AS, Rusia masih disiasat dan dikatakan telah campur tangan secara aktif dalam politik dalaman negara kuasa besar itu hingga menyumbang kepada kemenangan Donald Trump sebagai presiden.

Berdasarkan cerita negatif dalam media Barat ketika itu, tidak mengejutkan kalau ada yang berasa tidak mahu menikmati Piala Dunia kali ini, atau membatalkan hasrat untuk bersama-sama menyokong pasukan mereka di Rusia.

Tetapi sebaik kejohanan bermula, sentimen feel good bola sepak nampaknya menenggelamkan semua cerita buruk itu.

Imej negatifnya dalam politik dunia berjaya dipulihkan dan Rusia menerima banyak pujian daripada banyak pihak, daripada peminat bola sepak hingga kepada bekas pemain terkemuka dan pegawai-pegawai Fifa sendiri.

Kremlin menerima kehadiran beberapa tokoh hebat bola sepak dunia, seperti Lothar Matthaus dari Jerman, Rio Ferdinand yang pernah mewakili England dan Peter Schmeichel yang terkenal semasa mewakili Manchester United.


Matthaus dilapor berkata kepada Putin yang kejohanan Piala Dunia dihoskan Rusia kali ini sebagai kejohanan terbaik pernah disaksikannya sejak 40 tahun lalu.

Presiden Fifa, Gianni Infantino pula memuji polis Rusia yang mesra dan imej Rusia yang baharu yang disaksikannya di negara tuan rumah itu.

Bagi banyak negara lain, Piala Dunia kali ini juga memberikan kenangan yang indah, kerana pasukan mereka mara lebih jauh dan berjaya menewaskan gergasi-gergasi bola sepak.

Kalau ada satu catatan unik yang boleh menggambarkan Piala Dunia kali ini, kekalahan pasukan-pasukan juara dan kemaraan pasukan lain mungkin yang paling diingati dalam kejohanan kali ini.

Croatia mencipta sejarah apabila sampai ke perlawanan akhir, Belgium mencatat kejayaan membanggakan menduduki tempat ketiga, dan Korea Selatan menewaskan Jerman dan meranapkan harapan juara lalu itu untuk sekali lagi menjulang trofi.

Sepanjang kejohanan, selain pencerobohan padang pada perlawanan akhir oleh seorang yang dikatakan mewakili musuh politik Putin, tidak ada kejadian buruk yang serius dan tidak dapat dikawal berlaku.

Sebagai tuan rumah yang dikecam hebat dan diboikot beberapa pemimpin terutama dari Britain, Rusia berjaya dalam penganjuran Piala Dunia kali ini.

Selepas perlawanan akhir antara Perancis dan Croatia yang disaksikan bersama oleh Putin dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Croatia Kolinda Grabar-Kitarovic, Putin kelihatan meraikan kejayaan penganjuran Piala Dunia kali ini.

Sebagai gambar imej positif politik antarabangsa, kemunculan Putin bersama presiden Perancis dan Croatia itu menutup cerita boikot oleh beberapa negara, yang boleh dikatakan menutup cerita boikot yang mendominasi media Barat sebelum kejohanan.

Imej Putin menonton perlawanan akhir itu bersama dua pemimpin lain hingga acara penyampaian hadiah memberikan penutupan sempurna penganjuran Piala Dunia oleh Rusia kali ini.

Putin kini telah menyerahkan tugas penganjuran kepada Emir Qatar, Tamim bin Hamad al-Thani, penganjuran kejohanan empat tahun akan datang pada 2022 yang seperti Putin, turut memerlukan imej positif penganjuran Piala Dunia. – Mynewshub.tv

Kategori