Sunday, December 8, 2024

Creating liberating content

Penyokong Bersih 4 Ingkari...

KUALA LUMPUR - Para penyokong perhimpunan Bersih 4 meneruskan rancangan untuk mengadakan demonstrasi...

Polis Buru Suspek Intai...

TAPAH : Polis sedang mengesan lelaki yang didakwa mengintai seorang wanita di tandas...

8 Anggota RAMD Terlibat...

TAWAU - Lapan anggota Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang terlibat...

Fesyen Artis Di Karpet...

ANUGERAH Skrin telah menobatkan filem Lelaki Harapan Dunia sebagai Filem Terbaik dan bagi kategori...

Penggunaan Plastik Ancam Makanan Laut

KUALA LUMPUR – Memandangkan Malaysia adalah negara pengguna makanan laut terbesar di Asia Tenggara, maka tidak hairanlah sekiranya rakyat negara ini gemarkan makanan ini.

Namun bagaimanakah perasaan mereka apabila mengetahui menjelang 2050, semua makanan laut akan tercemar dengan plastik – dan ada antaranya tidak dapat dibuang daripada hasil laut itu sebelum dimakan?

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran bahawa lautan akan mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan menjelang 2050. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 170 juta tan plastik di laut dan sesetengah daripadanya dimakan oleh ikan yang menjadi hidangan kita.

Terdapat banyak kes yang didokumentasikan mengenai hidupan marin yang mati akibat memakan plastik atau terperangkap dalam sisa plastik. Walaupun hidupan marin itu tidak mati, bahan plastik yang dimakan masih tersimpan di dalam sistem badannya.

Walaupun sisa plastik yang besar boleh dibuang daripada ikan yang lebih besar ketika menyediakan hidangan, kebimbangan utama adalah plastik mikro yang dimakan oleh ikan kecil dan kerang-kerangan yang lebih kecil, yang boleh meresap ke dalam isinya, dan tidak dapat dikesan.

PLASTIK MIKRO

Plastik mikro adalah serpihan kecil bersaiz kurang daripada 5mm yang terhasil daripada kepingan plastik lebih besar yang dibuang ke dalam laut. Plastik yang bukan terbiodegradasikan boleh mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk mengurai.

Plastik itu akan mereput secara perlahan-lahan namun tidak akan hilang sepenuhnya. Sebaliknya, kepingan halus plastik akan berada dalam lautan selama berabad-abad, mengancam hidupan marin dan mencemarkan ekosistem lautan.

Plastik mikro termasuk sisa plastik terurai, serat sintetik dan butir halus plastik “plastic microbead” yang terdapat dalam produk seperti pencuci muka. Hidupan marin akan makan plastik mikro kerana menyangka ia makanan, jadi ia akan masuk ke dalam tubuh manusia melalui makanan laut, air paip dan makanan lain seperti gula.

Risiko terhadap manusia masih belum diketahui tetapi beberapa jenis plastik dikenal pasti boleh melarut resapkan toksin. Oleh itu, terdapat kebimbangan jika plastik mikro akan terkumpul di dalam tubuh manusia, dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan. Selain itu, dikhuatiri juga jika partikel plastik yang sangat halus boleh meresap ke dalam saluran darah manusia.

Walaupun umumnya ramai yang tidak peduli apa yang masuk ke dalam makanan mereka, ada keperluan untuk memberi perhatian pada hal ini kerana sebarang ancaman terhadap sumber pemakanan bukan sahaja akan memberi kesan kepada kesihatan individu tetapi juga menjadi beban kepada sistem kesihatan awam.

PLASTIK PAKAI BUANG

Plastik dianggap sebagai suatu bahan ajaib ketika pertama kali dicipta pada 1907 tetapi pada hari ini, 40 peratus plastik dibuat hanya untuk tempoh penggunaan yang singkat sebelum dibuang.

Dikenali sebagai plastik pakai buang, plastik jenis ini hanya digunakan sekali – dan ada kalanya digunakan hanya untuk beberapa minit sebelum dibuang atau dikitar semula. Antaranya adalah penyedut minuman, botol air mineral dan pembungkus makanan atau produk-produk lain.

Pengeluaran besar-besaran plastik bermula pada tahun 1950-an. Menurut kajian yang diterbitkan semula dalam jurnal Science Advances, kira-kira 8.3 bilion tan produk dihasilkan sehingga kini, namun 6.3 bilion daripadanya menjadi sisa. Malangnya, hanya sembilan peratus daripada sisa plastik itu dikitar semula.

Selebihnya masih berselerak di persekitaran, berada di tapak pelupusan dan juga di lautan.

Penyelidikan pada 2015 yang diketuai oleh Profesor kejuruteraan alam sekitar University of Georgia Jenna Jambeck juga mendedahkan bahawa sebahagian besar plastik di lautan bukan yang dibuang dari kapal tetapi sebaliknya berpunca daripada perbuatan manusia yang membuang sampah sewenang-wenangnya di merata tempat di darat dan sungai, kebanyakannya berlaku di Asia. Sisa plastik ini kemudian ditiup angin atau dibawa arus ke laut.


Pasukan ahli sains yang sama juga mendedahkan Malaysia sebagai pelaku terburuk kelapan di seluruh dunia untuk pembuangan sisa plastik.

Statistik yang dibentangkan dalam jurnal Sains pada 2015, menganggarkan bahawa Malaysia menghasilkan hampir satu juta tan sisa plastik salah urus (sisa tidak dikitar semula atau dilupuskan dengan betul) pada 2010.

Ia juga menamakan China sebagai negara yang paling bertanggungjawab untuk sisa plastik di lautan, diikuti Indonesia, Filipina, Vietnam, Sri Lanka, Thailand, Mesir, Malaysia, Nigeria dan Bangladesh.

Jambeck diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk penyelidikannya mengenai sisa plastik di lautan dan kajian yang dijalankan oleh pasukannya adalah analisis global pertama mengenai pengeluaran, penggunaan dan nasib kesemua plastik yang pernah dibuat.

Pembakaran juga bukan merupakan jawapan penyelesaian kepada sisa buangan plastik. Pembakaran plastik boleh membebaskan gas dan bahan berbahaya seperti logam berat, toksin dan sebatian kimia yang mengambil masa sangat lama untuk terbiodegradasi, jadi ia akan kekal dalam persekitaran dan boleh menimbulkan bahaya kepada kesihatan. Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan akhirnya menjejaskan hidupan marin.

APA YANG PERLU DILAKUKAN?

Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan sampah dan penggunaan plastik tetapi ia melibatkan perubahan dalam banyak perlakuan harian kita.

Untuk permulaan, gunakan botol yang diperbuat daripada kaca atau keluli tahan karat yang boleh digunakan semula. Kedua-dua bahan itu telah terbukti lebih selamat daripada plastik, dan semestinya boleh diguna semula. Sebuah syarikat penyelidikan pasaran, Euromonitor International mendedahkan bahawa satu juta botol plastik dibeli setiap minit, jadi dengan menggunakan botol yang boleh diguna semula pasti dapat memberi impak besar dalam pengurangan sisa plastik.

Oleh kerana pembungkusan adalah sumber utama plastik pakai buang, bawa bekas dan beg sendiri semasa keluar membeli-belah. Anda juga boleh membawa pinggan dan sudu garfu sendiri ke restoran yang menyajikan makanan menggunakan pinggan mangkuk pakai buang. Pada mulanya, anda mungkin akan berasa agak canggung, tetapi tindakan anda itu akan menjadi pembuka perbualan yang menarik, sekali gus membantu dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai akibat daripada penggunaan plastik.

Membawa makanan yang dimasak di rumah di dalam bekas yang boleh diguna semula ke sekolah, tempat kerja dan semasa perjalanan juga merupakan satu lagi cara terbaik untuk mengurangkan penggunaan plastik.

Syarikat korporat juga beralih kepada cara yang lebih mesra alam dengan rangkaian kopi Starbucks menghentikan penggunaan penyedut plastik minuman menjelang tahun 2020.

Sementara itu, negara seperti Kenya, England, Australia, New York dan Indonesia mengharamkan atau mengenakan cukai terhadap penggunaan plastik pakai buang.

Malah, Kenya selangkah lebih ke hadapan dengan mengenakan denda sebanyak USD38,000 (kira-kira RM155,000) atau hukuman penjara empat tahun bagi mereka yang ditangkap kerana melanggar larangan itu.

Menghapuskan sisa plastik adalah satu tugas besar yang memerlukan usaha kolektif individu, organisasi dan kerajaan, dan ia tidak boleh ditangguh lagi. – BERNAMA

​​​​​​​

Kategori