MARYLAND – Seorang lelaki yang dituduh menembak lima orang sehingga mati bulan lalu di sebuah pejabat akhbar di Annapolis di sini mengaku tidak bersalah semalam atas 23 tuduhan feloni termasuk lima pertuduhan membunuh darjah pertama.
Pengakuan Jarrod Ramos, 38 itu difailkan peguamnya di Mahkamah Anne Arundel County bersama permohonan untuk mempercepatkan perbicaraan dan memperoleh bukti pendakwaan menerusi perbicaraan awal.
Prosedur berkenaan tidak memerlukan kehadiran Ramos di mahkamah dan dia masih ditahan tanpa dibenarkan untuk diikat jamin.
Ramos dituduh melepaskan tembakan rambang di jabatan pengarang Capital Gazette di Annapolis pada 28 Jun lalu dengan menggunakan senapang patah, menyebabkan empat wartawan dan seorang pembantu jualan terbunuh.
Serangan itu disifatkan polis sebagai bermotifkan dendam lama terhadap akhbar berkenaan yang dimiliki oleh Baltimore Sun.
Tragedi itu dikategorikan sebagai antara terburuk pernah berlaku terhadap wartawan di Amerika Syarikat.
Jurucakap pendakwa, Emily Morse berkata identiti Ramos disahkan menerusi teknologi pengecaman wajah, sekali gus menafikan laporan tidak tepat bahawa tertuduh mencacatkan jarinya bagi mengelakkan dari dikenal pasti. – Reuters/BH ONLINE

