PULAU PINANG – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut apabila kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang mengumumkan sedang mendapatkan pinjaman berjumlah RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan beberapa projek mega di negeri ini.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, pinjaman sebanyak RM1 bilion itu didakwa bagi memulakan semula Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi memudahkan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dan projek Transit Aliran Ringan (LRT).
“Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow KonYeow dan bekas penyandang jawatannya yang kini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi jaminan projek tersebut tidak akan melibatkan wang rakyat.
“Sekarang cerita berlainan pula dan jika pinjaman ini diteruskan, ia mungkin mengundang risiko kewangan keatas Pulau Pinang. Terdapat risiko ekonomi dan persekitaran yang besar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
S.M. Mohamed mengingatkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Guan Eng selaku Menteri Kewangannya pernah mendakwa Malaysia tidak lagi mampu melaksanakan projek-projek mega disebabkan hutang negara mencecah RM1 trilion.
“Lagipun ada aspek kewangan yang lebih penting di Pulau Pinang iaitu memulihkan kerosakan yang disebabkan oleh ribut dan banjir sebelum ini dan langkah-langkah untuk menanganinya,” katanya.
Media pada 22 Julai lalu melaporkan kerajaan Pulau Pinang ‘menuntut’ pinjaman mudah sebanyak RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan rancangan pembinaan projek LRT dan jaringan lebuh raya baharu di negeri ini dapat dilaksanakan secepat mungkin. – Mynewshub.tv

