KUALA LUMPUR – AirAsia X mengumumkan pembukaan laluan baharu terus dari Kuala Lumpur ke Amritsar di utara India mulai 16 Ogos.
Penerbangan empat kali seminggu akan ditawarkan ke Amritsar yang mempunyai potensi sebagai destinasi keagaamaan, pelancongan, perdagangan dan perniagaan, kata syarikat penerbangan jarak jauh itu dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata: “Ramai komuniti Sikh dan Punjabi meminta kami untuk terbang terus ke Amritsar, di mana terletaknya Kuil Emas paling terkenal di dunia dan kami teruja untuk menawarkan khidmat terbang terus ini.
“Laluan baharu ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperkukuhkan kedudukan di India yang memberi kemungkinan untuk perluasan ke Eropah dan Amerika Utara.
“AirAsia X akan memberi fokus kepada usaha mempromosi Amritsar bersama dengan destinasi sedia ada New Delhi dan Jaipur sebagai sebahagian daripada kempen keseluruhan kami yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan penerbangan Fly-Thru’ kami, termasuk dari pasaran Indonesia, Australia dan New Zealand,” kata Benyamin .
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Hal Ehwal Kebudayaan Punjab, Navjot Singh Sidhu berkata penerbangan terus AirAsia X ke Amritsar adalah penting kepada masyarakat Punjabi yang berada di seluruh dunia. Ia merupakan destinasi yang digemari bukan hanya untuk diaspora Punjabi tetapi juga ramai pelancong asing.
“Kesalinghubungan adalah tunjang kepada pelancongan di Punjab dan AirAsia menawarkan kami rangkaian kesalinghubungan luas yang telah lama diwujudkan yang akan menghubungi Amritsar ke bandar-bandar lain di rangkaian penerbangannya dan juga ke tempat-tempat lain di seluruh dunia.”
“Kami mengalu-alukan AirAsia X ke Amritsar, dan kami gembira bahawa diaspora Punjabi dan pelancong asing dari destinasi di rangkaian luas AirAsia termasuk Australia dan New Zealand akan dapat terbang ke Amritsar dan Punjab,” katanya.
Sempena meraikan pengumuman laluan baharu ini, AirAsia X menawarkan promosi tambang serendah RM199 sehala untuk kerusi ekonomi dan RM699 sehala untuk kerusi ‘Premium Flatbed’ melalui aplikasi telefon bimbit AirAsia untuk tempoh perjalanan antara 16 Ogos dan 27 Oktober tahun ini.
Untuk maklumat terkini mengenai berita, promosi dan aktiviti AirAsia layari twitter.com/AirAsia dan facebook.com/AirAsia. – BERNAMA