BARAT dalam misinya meracuni umat Islam dengan budaya mereka, amat jelas dan berjaga-jaga akan peranan para ulamak dan agamawan.
Golongan ini amat peka dalam memelihara segenap cabang Islam daripada anasir yang merosakkan. Justeru, sedaya mana pun usaha mereka untuk menghasut, pastinya golongan ini akan bangkit melawan segala dakyah tersebut.
Namun, dewasa kini, kita melihat sebaliknya. Sudah ada, bahkan semakin ramai golongan agamawan dilihat menjadi lidah menyambung bahkan mendukung pemikiran Barat.
Barangkali kita sudah maklum akan seorang tokoh besar al-Azhar, S. Ali Abdul Razik yang mengeluarkan kenyataan akan pemisahan politik daripada agama lalu dibantah oleh Haiah Ulamak Azhar dan beliau disingkirkan.
Bagaimana ini berlaku? Barat mula melihat satu peluang, bahawa golongan ini perlu di’didik’ dengan gagasan dan pemikiran sebagaimana yang mereka mahukan.
Hal ini supaya agamawan juga memberi saham dalam misi merosakkan umat. Selain melemahkan fungsi golongan ini dengan bermacam tekanan dan undang-undang, perlu juga untuk menukar acuan mereka.
Barat mahukan golongan agamawan di’basuh’ dengan pemikiran mereka dan mengubah budaya ilmu yang mereka perolehi mengikut disiplin ilmu Islam kepada gaya mereka berfikir. Yang amat mereka resahkan ialah para ulamak dan agamawan yang tegas dan keras terhadap Yahudi (baca Israel) dan Kristian (baca Amerika atau Barat).
Apabila golongan agamawan berjaya dibasuh dan digilap oleh Barat, ia bakal mengenengahkan satu Islam baru, iaitu Islam menurut acuan Amerika.
Projek ini mula digerakkan selepas tragedi ‘mistik’ 11 September 2001 yang berlaku, seiring dengan gelombang Islamphobia yang menyerang Barat. Kursus-kursus tertutup dibuat melalui agamawan-agamawan yang mereka sendiri pilih.
Setiap kursus disertai 500-600 agamawan selama 6 bulan. 3 bulan dijalankan di Washington atau mana-mana bandar terpilih di Amerika, supaya mereka kagum dan menjadikan Barat sebagai inspirasi.
Manakala baki 3 bulan lagi dijalankan di negara masing-masing supaya proses pematangan dan keserasian berlaku. Akhirnya, ajaran dan Islam menurut acuan Amerika bakal menjadi fenomena baru di negara umat Islam secara tersusun dan terancang.
Persoalannya, siapakah mereka agamawan terpilih yang terlibat dalam program tersebut?
Bukanlah suatu kerja mudah, apatah lagi kerja semberono untuk kita menuduh si polan sebagai ejen Barat, tetapi Islam mendidik kita mengenal sang munafik melalui kriteria yang banyak di dalam al-Quran mahupun Hadis.
Begitulah cara yang sama mampu kita kenal pasti wabak Ilmuan acuan Barat. Bak kata pepatah, kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang. Bahasa mudahnya pula, kalau tak buat, mengapa pula terlalu resah mahu menafikan?
Allah mengurniakan kepada manusia akal, bahkan orang beriman yang akalnya dipandu wahyu, selayaknya melihat situasi sebegini sebagai ancaman besar buat umat, khususnya di Malaysia.
Bukan lagi satu rahsia, apabila sesetengah agamawan secara terbuka begitu sinis dengan gerakan Islam. Setiap apa yang dibuat oleh gerakan Islam mahupun tokoh di dalamnya, pantas dibidas, dikritik bahkan ditolak dengan berlapikkan menghidupkan budaya berbeza pandangan.
Dalam masa yang sama, langsung mendiamkan diri atau reaksinya sentiasa positif terhadap apa yang dibuat pihak pemerintah.
Bukanlah kita terlalu fanatik terhadap apa yang dilakukan oleh gerakan Islam semuanya sentiasa betul, namun perkara yang betul juga tidak disokong bahkan ditentang, lalu apa objektifnya?
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Bainal Islam Rabbani wal Islam Amerikani – HARAKAHDAILY 25/7/2018