KUALA LUMPUR — Seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberitahu Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkifli bahawa beliau dia terdengar jeritan seseorang di dalam bilik 04-10 asrama penginapan universiti itu pada 4 pagi, 22 Mei 2017.
Muhammad Izzul Akhtar Rosli, 22, berkata ketika itu dia baru sampai ke bilik asramanya untuk mandi selepas pulang dari masjid UPNM.
Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata dia yang ketakutan ketika itu kemudian membuka pintu dan melihat Zulfarhan Osman terbaring di dalam bilik tersebut.
“Saya nampak dia tengah baring dekat lantai,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah pada perbicaraan hari kelapan kes itu di sini, hari ini.
Ketika ditanya bagaimana keadaan Zulfarhan Osman ketika itu, saksi berkenaan berkata dia tidak pasti kerana hanya memandang sekilas sahaja ke arah mangsa sebelum mengambil baju dan beredar keluar ke bilik 04-09 yang terletak bersebelahan, untuk menggosok baju.
Muhammad Izzul Akhtar merupakan penghuni bilik 04-10 bersama empat lagi penghuni lain termasuk tiga tertuduh iaitu tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan tertuduh kedua, Muhammad Najib Mohd Razi yang dituduh membunuh Zulfarhan Osman serta tertuduh Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain yang dituduh mencederakan mangsa.
Kepada soalan Othman sama ada dia menegur Zulfarhan Osman yang sedang terbaring dan adakah Zulfarhan Osman, yang tidak menginap di bilik asrama itu, pernah tidur di biliknya, saksi itu menjawab: “Tidak”.
Muhammad Izzul Akhtar juga berkata dia juga tidak pasti di mana rakan-rakan sebiliknya yang lain berada ketika itu.
Terdahulu, Bekas Penolong Ketua Batalion Tuah UPNM, Kapten Haryani Hassan, 34, berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan di bilik 04-10 pada 23 Mei 2017 selepas menerima nota meminta pertolongan untuk merawat seseorang yang sakit di bilik tersebut.
Katanya beliau telah meminta Pegawai Waran UPNM bernama Arick untuk membuat pemeriksaan pada hari sama pihaknya menerima nota bertulis ‘Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ‘ambush’ bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!!’ – Hamba Allah”.
Nota itu diselitkan di pagar hadapan pusat perubatan UPNM itu.
“(Setelah pemeriksaan dilakukan kira-kira 8.50 sehingga 9 pagi), saya terima laporan (daripada Arick) bahawa tiada orang di dalam bilik tersebut sebab masa itu adalah waktu kelas,” kata saksi pendakwaan ke-15 tersebut ketika pemeriksaan balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili tertuduh pertama.
Semasa ditanya Amer Hamzah tentang tindakan lanjut yang dilakukannya selepas menerima laporan itu, Haryani berkata beliau telah berjumpa dengan semua penghuni bilik 04-10 termasuk Muhammad Izzul Akhtar pada malam 23 Mei tersebut namun diberitahu tiada sesiapa yang sakit di bilik itu.
Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. — BERNAMA

