SEDIA… Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak ada sebarang masalah untuk menyiarkan debat melibatkan tiga calon Presiden UMNO secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika mengesahkan perkara itu malah berkata, sekiranya pihak terlibat memerlukan platform sedemikian, beliau sendiri bersedia membawanya kepada perhatian RTM.
“Kita (pihak kementerian) tiada apa-apa masalah pun untuk menyediakan pentas debat menerusi saluran RTM untuk Tengku Razaleigh Hamzah, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdebat. Silakan…
“Terpulang kepada mereka untuk menyahut sesi debat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas isu pemilihan jawatan tertinggi parti tunjang Barisan Nasional (BN) tersebut menjelang hujung bulan ini.
Portal berita tempatan hari ini melaporkan Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO dan BN berkata bahawa beliau bersedia menyahut cabaran Tengku Razaleigh berdebat pada bila-bila masa bagi ahli parti dapat membuat pilihan.
Ini berikutan tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu semalam dalam temubual dengan stesen televisyen swasta yang cabar Khairy dan Ahmad Zahid berdebat agar ahli UMNO dapat menilai calon sesuai bagi jawatan tersebut.
Sekiranya sesi itu menjadi kenyataan, ia bakal melakar sejarah tersendiri buat UMNO yang lebih berjiwa terbuka dan memberi peluang kepada rakyat untuk dekat kepada parti keramat tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

