KUALA LUMPUR – Roh pembangkang perlu wujud dalam DNA UMNO bagi memastikan parti tersebut menjad ejen semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan baharu.
Menurut Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, semua pihak di setiap peringkat kepimpinan UMNO perlu komited dalam perubahan menyeluruh yang perlu dilakukan terhadap parti.
Jelas Ahli Parlimen Pengerang itu, tiba masanya untuk kepimpinan parti di semua peringkat berfikir dan bekerja seperti seorang pembangkang untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat.
Malah, Azalina menggesa semua saf kepimpinan UMNO yang baharu perlu berpegang teguh prinsip perjuangan parti yang menjadi benteng kepada orang Melayu Islam di negara ini.
“Rakyat telah bersuara, orang muda khususnya melihat perjuangan UMNO pada hari ini sudah tidak relevan meskipun parti telah lebih enam dekad menyumbang bakti kepada bangsa dan negara.
“Justeru roh pembangkang dalam DNA UMNO ini akan mengembalikan semangat UMNO untuk berani menentang seperti era kewujudan Malayan Union,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Tambah Azalina, ahli UMNO perlu lebih berani menegur sebarang kesilapan atau salah laku oleh pemimpin serta ahli parti yang lain biarpun perkara itu tidak sedap untuk didengari.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua kepimpinan sayap parti yang telah dipilih dalam pemilihan yang berlangsung semalam.
Azalina berkata, beliau berharap calon yang tewas tidak menjauhkan diri dari parti kerana kesetiaan ahli merupakan tonggak kepada kekuatan UMNO.
Ujar Azalina lagi, UMNO ketika ini memerlukan pemimpin yang benar-benar ikhlas, jujur dan setia dalam perjuangan untuk membina semula parti yang kini masih berkecamuk selepas kekalahan Barisan Nasional 9 Mei lalu.
“Jangan sesekali kita lari dari prinsip perjuangan asal UMNO iaitu, bersatu, bersetia dan berkhidmat.
“Pemilihan UMNO yang berlansung dengan semangat demokrasi ini merupakan langkah positif ke arah fasa baru di dalam UMNO,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/EZ

