RASMI… Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuiddn Idris Shah akhirnya mengesahkan bersetuju menerima tawaran sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Pengumuman positif bagi menyandang jawatan kepimpinan FAS tersebut dibuat menerusi satu kenyataan rasmi daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani di Shah Alam, Selangor semalam.
Dalam kenyataan berkenaan, Tengku Amir Shah bertitah bahawa pihak FAS perlu melakukan anjakan paradigma dan perubahan yang menyeluruh dalam mengembalikan semula kegemilangan arena bola sepak Selangor.
“Beliau juga menekankan bahawa ini bukannya masa untuk mengadu domba atau pun mencari kesalahan lampau. Beliau sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi.
“Selain itu fokus harus diberikan untuk memastikan FAS serta Selangor terus mara ke depan. Beliau menyeru rakyat untuk bersama menyokong penuh pembaharuan yang akan dilakukan oleh beliau apabila menerajui FAS nanti.
“Beliau yakin bahawa pasukan kesayangan rakyat Selangor yang juga digelar The Red Giant ini akan dapat mencapai kegemilangan lebih cemerlang pada masa akan datang,” kata Mohamad dalam kenyataan media tersebut.
Dalam pada itu, berita pelantikan Raja Muda Selangor sebagai bakal Presiden FAS itu menurut penganalisis sukan tempatan bakal membolehkan skuad Selangor kembali semula beraksi di gelanggang keramat, Stadium Shah Alam.
Umum maklum, FAS ‘diusir’ kerajaan negeri hanya kerana perbezaan politik dengan kepimpinan badan bola sepak itu dikuasai UMNO sehingga terpaksa bermain di Stadium Cheras, Kuala Lumpur sebagai gelanggang tuan rumah.
Lebih malang apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Azmin Ali awal tahun ini menyindir FAS agar belajar daripada pasukan kebangsaan Iraq yang bermain di padang pasir namun komen itu dikutuk pelbagai pihak sebagai biadab!
Sebelum ini media melaporkan Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan peletakan jawatan beliau selaku Presiden FAS dan kerusi No. 1 itu bakal diisi oleh Tengku Amir Shah dalam Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa (EGM).
Ia akan diadakan pada 3 Julai ini. Kata Subahan, tindakan itu diambil kerana kekangan masa ekoran banyak perkara besar yang perlu dilakukannya memandangkan beliau juga adalah Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Pada masa sama, pemimpin UMNO Selangor tersebut turut merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali gus memikul beban untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya di persada antarabangsa.
“Saya fikir sudah tiba masanya saya melepaskan jawatan Presiden FAS kepada Raja Muda Selangor memandangkan saya yakin beliau adalah calon paling layak untuk menerajui FAS,” kata Subahan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA