KUALA LUMPUR: Sejarah baharu tercipta dalam arena kepengadilan negara selepas Fitri Maskon menjadi pengadil pertama dipecat daripada semua tugasan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selepas pengadil itu menunjukkan prestasi yang lemah pada perlawanan Piala MFL antara Negeri Sembilan FC (NSFC) menentang Selangor FC (SFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Khamis lalu.
Sivasundaram menjelaskan keputusan tegas itu dibuat selepas perbincangan mendalam dilakukan bersama kepemimpinan tertinggi badan induk itu sekali gus membuktikan FAM serius dalam menangani isu terbabit.
“Walaupun keputusan tegas ini dibuat dengan hati yang berat namun ia perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada semua pengadil.
“Keputusan memecat pengadil adalah satu tindakan yang pertama kali dibuat kerana sebelum ini, pengadil hanya digantung tugas. Ini satu isyarat jelas supaya pengadil perlu lebih serius ketika menjalankan tanggungjawab mereka di atas padang.
“FAM tidak akan berkompromi dalam isu yang berkaitan prestasi lemah yang ditunjukkan oleh pengadil,” katanya.
Mengulas lanjut isu terbabit, Sivasundaram menjelaskan berdasarkan laporan Penilai Pengadil, prestasi lemah yang ditunjukkan Fitri mempengaruhi keputusan perlawanan terbabit.
“Unit Pengadil FAM juga sudah membuat analisis perlawanan dan mendapati keputusan sepakan penalti yang diberikan oleh beliau adalah kurang tepat.
“Hasil analisis juga menunjukkan tambahan masa yang diberi iaitu 15 minit pada akhir perlawanan adalah keterlaluan sehingga menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berkesudahan seri, berakhir dengan keputusan berbeza.
“Ini jelas membuktikan bahawa keputusan pengadil sudah mempengaruhi dan memberi impak yang jelas kepada keputusan akhir perlawanan,” katanya.
Pada aksi terbabit, sepakan penalti Harry Danish pada masa tambahan membolehkan SFC meraih kemenangan 2-1 ke atas NSFC.
BHonline-