BUTTERWORTH – Seorang gadis berusia 15 tahun ditahan polis dalam operasi samseng jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata remaja yang tidak bersekolah tersebut ditahan selepas didapati menunggang sebuah motosikal bernombor pendaftaran palsu.
Pemeriksaan kemudian mendapati motosikal tersebut dicuri di Kubang Semang baru-baru ini, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata gadis tersebut telah direman dan polis sedang menjejaki beberapa lagi rakan jenayahnya yang dipercayai aktif mencuri motosikal di SPU dan Seberang Perai Tengah.
“Selain itu, dalam operasi yang sama polis turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun bersama 14 bungkus air ketum dan dia dipercayai datang dari Kulim, Kedah untuk menjual air ketum berkenaan kepada mat rempit di situ,” katanya.
Lelaki itu telah direman dan kes disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Noorzainy berkata dalam operasi yang berlangsung dari 11.30 malam hingga 6 pagi tersebut, polis turut menyita 20 motosikal serta mengeluarkan 90 saman atas pelbagai kesalahan.
“Motosikal terbabit disita atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai tidak mengikut spesifikasi,” katanya.
Noorzainy berkata polis akan terus mengadakan operasi sedemikian dari semasa ke semasa di kawasan tersebut yang disifatkan sebagai tumpuan samseng jalanan untuk berlumba haram. – BERNAMA
