KESAL… Datuk Seri Najib Tun Razak terkilan dengan tindakan kerajaan membekukan akaun bank milik UMNO dan pelbagai parti pembangkang lain termasuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana parti terbabit disyaki pernah terima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang kononnya dibelanjakan untuk kempen politik ketika itu.
“PRU itu lima tahun lalu dan sepatutnya akaun bank terbabit dibenar beroperasi seperti biasa kerana ia tetap tidak jejas proses siasatan sedang dilakukan. Bukankah rekod transaksi mudah diperoleh jika diperlukan penyiasat?
“Saya juga sedih apabila seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) turut minta kerajaan Pakatan Harapan (PH) beku akaun bank parti politik lain seperti MCA, MIC dan Gerakan,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Bekas perdana menteri tersebut berkata, adalah tidak wajar untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank yang akan menjejaskan kegiatan dan pembinaan semula parti pembangkang.
“Ia juga akan beri kepayahan kepada kakitangan serta keluarga mereka yang digaji parti. Tindakan ini juga akan jejas program kemasyarakatan berterusan dilakukan parti terutama bagi bantu rakyat yang masih memerlukan.
“Bekukan akaun bank parti akan menjejaskan kebangkitan pembangkang yang berkesan dan dapat dilihat sebagai serangan atau penafian terhadap asas demokrasi,” katanya yang turut menegaskan UMNO dan SUPP tidak bersalah.
Tambah Najib, adalah satu kelaziman untuk terima derma politik sebagai mana parti lain termasuk komponen dalam gabungan PH kerana tiada peruntukan perundangan yang menyatakan pembiayaan politik adalah salah.
“Bagaimana parti politik dapat mengesahkan sumber dana diperoleh? Bolehkah PPBM atau DAP mengesahkan derma diterima mereka tidak datang dari pihak terbabit kegiatan haram atau ekonomi gelap (black economy)?
“Memandangkan PH sudah berkempen untuk PRU ke-14 dengan mendakwa saya terbabit dalam pelbagai salah laku, saya mengalukan siasatan terhadap saya, namun jangan jadikan parti politik sebagai mangsa,” katanya.
Pembekuan akaun parti oleh SPRM mula didedahkan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Johor kelmarin sekali gus membuktikan kerajaan PH takut dengan kebangkitan lawan. – Mynewshub.tv

