TIDAK perlu disebut lagi bahawa nasib dan suasana selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi UMNO menuntut parti Melayu terbesar ini melakukan perubahan.
Selepas PRU14, semua menyedari yang UMNO sudah lama dirosakkan dan dilumpuhkan oleh budaya politik tidak sihat seperti budaya material dan berlumba mengejar kuasa demi kepentingan diri.
Keadaan selesa memegang kerajaan di Putrajaya dan negeri-negeri menjadikan UMNO sebuah parti yang berkuasa dan berpengaruh, tetapi tidak cukup daya tahan.
Sejurus kalah dalam PRU14, boleh dilihat bagaimana lemahnya UMNO yang selama ini sudah selesa berkuasa.
Ramai pemimpin dan ahli akar umbi UMNO hilang punca dan kemurungan hingga memburukkan lagi keadaan yang sudah sedia buruk.
Keadaan ini boleh difahami kerana kekalahan kali ini tidak disangka dan UMNO tidak menghadapi pilihan raya seperti tahun 2013 dulu.
Tetapi UMNO tidak boleh lama membiarkan diri dalam keadaan lemah dan kecewa kerana ada jutaan orang Melayu yang mengharapkan UMNO bangkit melawan.
Memang ramai orang Melayu yang tertipu dengan Pakatan Harapan yang tonggaknya ialah parti DAP yang tidak suka dengan Melayu dan Islam.
Bagaimanapun, masih ada jutaan lagi orang Melayu yang kekal mengundi Barisan Nasional pada PRU14 lalu.
Parti-parti lain tidak dapat diharapkan untuk membela nasib orang Melayu, sama ada kerana tidak peduli dengan nasib bangsa atau kerana kedudukan yang lemah.
UMNO bukan sahaja kekal mendapat sokongan Melayu, UMNO juga parti pembangkang yang mempunyai jumlah kerusi yang besar di Parlimen.
Parti-parti lain perlu bergabung untuk mendapat jumlah kerusi sebanyak itu tetapi UMNO sebuah parti tunggal sudah memiliki jumlah kerusi yang besar.
Dalam keadaan kerajaan PH dikuasai DAP bertindak agresif menghakis kedudukan Melayu dan Islam dalam negara, UMNO ialah parti yang paling boleh diharapkan untuk melawan gelombang jahat ini.
UMNO mesti menunjukkan kekuatan dan semangat untuk kembali bangkit dan menghadapi cabaran baharu ini.
Maka UMNO mestilah benar-benar mengambil langkah membersihkan “rumahnya” daripada segala yang menghambatnya daripada menjadi pejuang Melayu yang berkesan.
UMNO mesti dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang kuat, berani dan berpengalaman, supaya dapat bertindak lebih yakin dan diyakini oleh penyokongnya.
Sumber parti perlulah disusun semula dan digunakan untuk keperluan yang benar-benar kritikal dan penting seperti media dan penerangan yang berkesan dan latihan dalam bidang yang diperlukan.
Parti ini masih ada banyak aset termasuk daripada kalangan ahli sendiri yang sedia menyumbang ke arah kebaikan.
Hanya perubahan yang sebenar dan menyeluruh dapat membantu proses pemulihan dan kebangkitan semula UMNO bagi membolehkannya berperanan sebagai pembela kepentingan Melayu. – Mynewshub.cc

